Wednesday, August 29, 2012

pengali kubur tertimbus

Penggali kubur maut tertimbus liang lahad di Mentakab
M.FEISAL NORAWI
28 Ogos 2012
Penduduk kampung memenuhi kawasan sekitar kubur Kampung Penak.
Penduduk kampung memenuhi kawasan sekitar kubur Kampung Penak.
Penduduk kampung melihat kubur milik Minah Ishak yang runtuh ketika digali di Kampung Penak, semalam
Penduduk kampung melihat kubur milik Minah Ishak yang runtuh ketika digali di Kampung Penak, semalam.
MENTAKAB – Seorang penggali kubur menemui ajal dalam liang lahad apabila dihempap ketulan tanah besar ketika sedang menggali kubur milik seorang warga emas dalam kejadian di Kampung Penak, pagi semalam.

Mangsa, Mohd Zailan Hamid, 46, dipercayai mati akibat patah tengkuk dan kecederaan teruk di kepala selepas tertimbus hampir keseluruhan badan ketika melakukan kerja akhir menyiapkan liang lahad milik Minah Ishak, 76, yang mati sakit tua lepas Subuh semalam.

Kejadian berlaku ketika Zailan bersama seorang lagi rakannya Mohd Nasir Musa, 40, berada dalam kubur terbabit untuk melakukan kerja-kerja akhir pada liang lahad kira-kira jam 10.15 pagi.

Menurut seorang lagi penduduk kampung, Nizri Bakar, 57, dia melihat Zailan dan Mohd Musa menyiapkan bahagian akhir liang lahad sebelum secara tiba-tiba ketulan tanah besar jatuh di atas badan Zailan dan menimbus keseluruhan badannya.

“Saya sedang bercangkung tepi kubur, tiba-tiba satu ketulan tanah menghempap Zailan yang sedang baring dalam liang lahad, Zailan terkambus lebih setengah meter, hanya kaki kanan dia yang terjulur keluar.

“Masa itu saya menjerit memanggil rakan-rakan lain yang sedang berehat minum di kawasan kubur supaya mengeluarkan Zailan.

“Kami gali beramai-ramai dengan tangan, takut nak guna cangkul sebab kepala dan badannya tertimbus dalam tanah,” katanya.


Ambil masa 5 minit keluarkan kepala mangsa

Sementara itu seorang lagi penduduk kampung Abdul Halim Musa, 43, berkata, dia dan penduduk kampung mengambil masa lima minit untuk mengeluarkan kepala mangsa yang tertimbus.

“Masa gali saya nampak ada banyak darah pada kepala Zailan, ketika itulah saya dapat lihat arwah alami cedera teruk di kepala, tengkuk dan tulang pipi arwah patah.

“Kami angkat Zailan ke atas, tidak berapa lama kemudian dia menghembuskan nafas terakhir di sisi penduduk kampung,” katanya.


Tidak pernah alami kejadian seperti itu

Sementara itu Abdul Aziz Md Taha, 51, anak kepada Minah Ishak, 76, yang meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya dekat Taman Bukit Cermin di sini, pagi semalam menganggap kejadian tersebut sesuatu yang tidak pernah dialami penduduk kampung.

“Mak saya meninggal Subuh tadi, ketika menggali kubur berlaku pula kematian kepada si penggali kubur, ini tidak pernah berlaku di kampung ini,” katanya.

Sementara itu seorang penduduk, Abdul Walit Abdul Malek berkata, arwah Zailan tidak seperti biasa sebelum itu.

Menurutnya, ketika sedang menggali kubur, Zailan yang masih bujang, tidak seperti rakan lain, arwah lebih banyak mendiamkan diri dan tingkah lakunya tidak seperti biasa.

“Kami di sini sangat terkejut dengan kejadian yang berlaku, dalam satu hari ada dua kematian yang berkaitan antara satu sama lain.

“Zailan memang pakar menggali kubur terutama kerja menyiapkan liang lahad yang memerlukan hasil kerja yang halus, dia biasanya akan bersama Mohd Nasir melakukan kerja tersebut,” katanya.

Abdul Walit berkata, kubur arwah Minah yang sepatutnya dikebumikan tengah hari terpaksa digali semula menggunakan jengkaut atas sebab-sebab keselamatan.


Polis terima laporan

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood mengesahkan kejadian.

Menurutnya, mayat Zailan telah dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) untuk bedah siasat.

Tuesday, August 28, 2012

tinggalkan anak

Bapa tekad tinggalkan 3 anak


NURUL SAFIZA (kiri) menjaga dua adiknya, Muhammad Nurhan (tengah) dan Nur Masyita Amiera di rumah mereka di Johor Bahru semalam.


JOHOR BAHRU – Nordi Adi, bapa kepada Siti Norzana, 12, yang masih terkandas di Indonesia bersama keluarga bekas isteri keduanya, Karsini Kaslam, 25, tekad meninggalkan tiga anaknya bersendirian di Flat Taman Kempas di sini.
Lelaki itu dipercayai menuju ke Lampung, Indonesia bersendirian untuk menyelamatkan anaknya yang kini didakwa di bawah cengkaman bapa angkatnya.
Dia dipercayai berbuat demikian lantaran kecewa kerana mendakwa sudah terlalu lama menunggu janji pihak tertentu untuk membawa anak kesayangannya pulang ke pangkuannya.
Namun, sebelum bertekad meninggalkan tanah air, niat itu terlebih dulu telah disuarakan Nordi, 57, kepada wartawan Kosmo! melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon yang dibuat sejam sebelum dia berangkat ke negara seberang.
Berikut adalah beberapa petikan SMS yang dihantar kepada Kosmo!:
Nordi: Mungkin esok (24 Ogos lalu), saya akan tinggalkan tiga anak saya.
Kosmo!: Apa maksud pakcik?
Nordi: Saya pergi sahut cabaran bapa angkat Siti Norzana. Tunggu berita Interpol, macam tunggu buah tak gugur.
Kosmo!: Pakcik sudah beli tiket kapal terbang?
Nordi: Saya keluar melalui jalan belakang.
Nordi dipercayai meninggalkan rumah dan tiga anaknya, Nurul Safiza, 11, Muhammad Nurhan, 9, dan Nur Masyita Amiera, 8, di Flat Taman Kempas di sini kira-kira pukul 10.30 pagi, 24 Ogos lalu menggunakan perkhidmatan feri.
Membuktikan tindak-tanduknya bukan main-main, dia menghubungi Kosmo! semula menggunakan talian dari Indonesia kira-kira pukul 3.45 petang pada hari yang sama.
“Saya sudah berada di Lampung, saya sudah bersedia berjuang walau apa juga rintangan untuk selamatkan Zana, tolong tengok-tengokkan anak saya,” katanya ringkas.
Nordi sebelum ini telah mendapatkan bantuan daripada Biro Aduan Komuniti Pergerakan Pemuda UMNO untuk menyelamatkan empat anaknya yang didakwa diculik dan disimpan oleh ibu tiri mereka di Lampung, Indonesia, sejak dua tahun lalu.
Misi itu, bagaimanapun hanya berjaya membawa pulang tiga daripada mereka manakala Siti Norzana tidak dapat dibawa bersama pada 30 Jun lalu selepas Suwwandi Kariorojo, 44, yang mendakwa sebagai bapa angkat kanak-kanak itu enggan membenarkannya pulang ke negara ini.
Dalam pada itu, Nordi ketika ditanya bagaimana nasib ketiga-tiga anaknya yang ditinggalkannya, jawabnya: “Saya serah kepada Allah. Tiada siapa menjaga mereka, sudah kehendak takdir, terpaksa saya terima dugaan ini. Untuk seminggu dua (duit belanja) cukup, seterusnya, entahlah.”

padah percaya bomoh

Wanita kongsi kisah silam dirogol bomoh
AHMAD ISMADI ISMAIL
27 Ogos 2012
Wanita konsi kisah silam dirogol bomoh
Rosilawati memberi kata-kata semangat keoada Nur Izah
“SAYA bukan pembawa sial, saya tidak salahkan takdir kerana ia takdir ALLAH SWT yang ditentukan-Nya,” itu luahan Nur Izah, 28, (bukan nama sebenar) memulakan bicara ketika menceritakan detik hitam yang terpaksa ditempuhinya.

Tragedi hidupnya bermula selepas kematian neneknya, lima tahun lalu. Sejak dilahirkan Izah dijaga neneknya kerana ibu bapanya sibuk urusan kerjaya.

“Sejak kembali ke pangkuan ibu bapa, baru saya ketahui bahawa mereka mengamalkan ajaran sesat dan percaya kepada seorang bomoh yang berusia lingkungan 40-an,” katanya.

Menurutnya, keluarganya mengambil jalan singkat dengan membawanya berjumpa bomoh berkenaan di ibu kota setelah didakwa membawa ‘sial’ kepada keluarga.

Malang bagi Izah apabila niat keluarganya menemui bomoh terbabit dengan harapan masalah yang dihadapi mereka berjaya dipulihkan bertukar menjadi mimpi ngeri apabila dirogol lelaki terbabit.

“Kejadian berlaku apabila bomoh terbabit mendakwa saya menjadi punca masalah rumah tangga serta kewangan ibu bapa,” katanya.

Nur Izah berkata, episod hitam bermula apabila bomoh berkenaan menjalankan upacara dengan mengarahkannya mandi terlebih dulu bagi ‘membuang sial’, sebelum membawanya ke bilik untuk rawatan seterusnya.

Menurut anak kedua daripada enam beradik itu, dia tidak menyedari niat jahat bomoh terbabit kerana menganggap ia sebahagian rawatan yang perlu dilalui.

“Saya diperkosa setiap kali berjumpa dengan bomoh berkenaan. Saya juga pernah dipukul abang dan dimarahi keluarga jika saya ingkar untuk menjalankan ‘rawatan’ itu,” katanya.

Menurutnya, disebabkan kejahilan tentang ilmu agama turut menjadi punca perkara ini berlaku ke atas keluarga.

“Banyak perkara dijanjikan bomoh berkenaan seperti kewangan keluarga kembali pulih dan pelbagai janji manis. Difahamkan beberapa orang turut menjadi mangsa bomoh terbabit,” katanya.

Nur Izah berkata, dia memaafkan perbuatan keluarganya dan berdoa agar mereka kembali ke pangkal jalan.

“Saya tidak salahkan mereka, ia berkemungkinan terpengaruh dengan hasutan bomoh tersebut sehingga rumah, kereta dan harta ditukar milik ke atas nama bomoh berkenaan,” katanya.

Menurutnya, setelah perkara itu dimaklumkan kepada ibu saudaranya, dia diselamatkan dan di hantar ke Pertubuhan Kebajikan Rumah Pemulihan Akhlak Insani (Rumah Insani), Bukit Beruntung, Hulu Selangor.

“Ibu saudara saya membuat laporan polis. Demi keselamatan, saya ditempatkan di rumah ini untuk belajar ilmu agama,” katanya.

Peluang kedua

Rumah Insani turut dihuni seorang remaja bekas penagih dadah. Jefri, 19, (bukan nama sebenar) yang sudi berkongsi kisah silamnya.

“Saya serik dengan pengalaman sebagai penagih sejak di bangku sekolah. Biarpun dibesarkan dengan kasih sayang ibu bapa.

“Saya harap peluang kedua ini, dapatdigunakan untuk hidup lebih gembira dan tenang,” katanya.

Menurutnya, semuanya bermula kira-kira 11 tahun lalu ketika tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR), dia bersama rakan ingin mencuba sesuatu yang baru dan mengamalkan gaya hidup bebas.

“Aktiviti itu diteruskan sehingga saya mengabaikan persekolahan dan tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Jefri berkata, dia sanggup mencuri besi, menjual tong gas apabila kesempitan wang untuk membeli dadah jenis heroin.

“Saya juga mencuri wang ibu bapa semata-mata untuk mendapatkan bekalan. Saya langsung tidak ambil peduli kesusahan mereka,” katanya.

Menurutnya, kini dia tidak akan mensia-siakan ‘kehidupan kedua’ yang diberikan selepas menjalani proses pemulihan dengan menumpukan sepenuh masa kepada keluarga untuk menebus segala kesilapan lalu.

“Saya memenuhi hasrat arwah ayah agar saya dapat sambung belajar di Yaman. Saya berazam untuk bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Menurutnya, namun setelah pulang kampung dan berjumpa semula  rakan lamanya, dia terjerumus  buat kali kedua.

“Saya berharap ini yang terakhir kerana saya ingin pulih sepenuhnya dan menjadi anak yang baik. Saya tidak sanggup untuk pulang ke kampung kerana masyarakat tidak mempercayai saya lagi,” katanya.

Rumah Insani

Sementara itu, Pengurus Rumah Insani, Ustaz Ahmad Fauzi Hussain berkata, pihaknya membantu ibu bapa yang mempunyai anak bermasalah segi sosial, dadah dan mental.

“Kami berusaha menjadikan remaja terbabit sebagai insan yang bertakwa, beriman, beramal soleh, berilmu dan berakhlak mulia,” katanya.

Menurutnya, kini seramai 10 pelatih lelaki dan 25 pelatih wanita yang menjalani pemulihan di Rumah Insani yang telah beroperasi sejak 2006.

“Pengasas Rumah Insani adalah Ustaz Hanafi Abdul Malek yang berusaha membantu remaja yang bermasalah. Sehingga kini seramai 600 remaja telah melalui proses pemulihan dan rawatan,” katanya.

Ahmad Fauzi berkata, antara punca remaja bermasalah faktor persekitaran, pengaruh kawan dan ibu bapa yang tidak mengawal pergaulan anak mereka.

Saturday, August 25, 2012

bakti jururawat

Jururawat IPPT berbakti di Darul Hanan

PELBAGAI aktiviti dijalankan sepanjang kunjungan warga IPPT ke Darul Hanan, termasuk khidmat nasihat mengenai kesihatan.


BAGI kebanyakan pesakit, jururawat adalah penyembuh kedua selepas ubat-ubatan. Bergelar jururawat, kerjaya mulia ini memerlukan kesabaran, dedikasi dan sentiasa mewujudkan sikap mengutamakan pesakit dengan memberi perkhidmatan yang terbaik.
Bagi meraikan Hari Jururawat Sedunia yang disambut pada 12 Mei setiap tahun, warga Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang memilih program kemasyarakatan untuk berbakti kepada masyarakat.
Jika pada hari-hari biasa jururawat IPPT di Kampus Kepala Batas sibuk melayan pesakit di hospital, kali ini mereka memilih Kompleks Warga Emas Darul Hanan Pulau Pinang (Darul Hanan) di Pongsu Seribu, Kepala Batas untuk dikunjungi.
Kompleks yang diuruskan bersama Yayasan Bukhary dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) itu menjadi kediaman kepada 34 penghuni warga emas beragama Islam terdiri daripada 14 lelaki dan 20 wanita

BIARPUN sebentar, warga IPPT jelas membawa keceriaan pada wajah penghuni Darul Hanan.


Darul Hanan adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan kompleks yang mula beroperasi sejak dua tahun lalu ini mampu menampung sehingga 200 penghuni pada satu-satu masa untuk penempatan dan penjagaan warga emas.
Antara prasarana yang disediakan adalan bangunan asrama, perpustakaan, kafetaria, surau, wad, dewan serbaguna dan bengkel.
Diketuai Penolong Pengarah Kejururawatannya, Nazlan Awang, kunjungan 40 warga IPPT yang terdiri daripada para jururawat dan staf sokongan itu telah berkampung selama setengah hari di kompleks tersebut.
Turut serta ialah Penolong Pengarah Kanan (Akademik) IPPT, Mohd. Yusoff Abdullah, Pegawai Hal Ehwal Islam IPPT, Ustaz Mohamad Shukri Osman dan Pegawai Penerangan IPPT, Muhammad Sallehuddin Abdul Hamid.
Kehadiran mereka amat dinanti-nantikan. Menerusi kaunter pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan, penghuni kompleks berpeluang mendapatkan khidmat nasihat berkaitan penjagaan kesihatan diri.
Nilai murni

KEHADIRAN rombongan warga jururawat IPPT USM di Kompleks Warga Emas Darul Hanan ternyata menggembirakan penghuninya.


Menerusi program tersebut juga, para jururawat IPPT dapat menambahkan ilmu pengetahuan di samping dapat menerapkan nilai-nilai murni dalam diri masing-masing.
Nazlan ketika ditemui memberitahu, kunjungan itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial IPPT terutama para jururawat yang wajar dilaksanakan lebih kerap agar golongan warga emas tidak dilupakan.
“Seperti juga pesakit, menerusi kunjungan ini kita memberi sokongan emosi secara langsung kepada semua penghuni mengikut kesesuaian di samping dapat mengeratkan hubungan antara IPPT dan Darul Hanan.
“Menerusi aktiviti pemeriksaan kesihatan percuma, warga IPPT dapat membantu meningkatkan kesedaran warga emas di sini terhadap penjagaan kesihatan diri masing-masing.
“Selain itu, sesi ceramah keagamaan pula dapat memberi sokongan kerohanian bukan sahaja kepada para penghuni kompleks ini malah buat warga IPPT sendiri,” ujarnya.
Mengakhiri program itu, Nazlan menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan harian kepada penghuni rumah berkenaan.
Sementara itu, warga IPPT yang ditemui menyifatkan program yang dirancang ini amat baik kerana memberi pendedahan kepada mereka betapa pentingnya khidmat bakti yang diberikan kepada warga emas.
Bagi petugas Mohd. Faisal Jamaludin, ia bukan sekadar kunjungan sebaliknya dapat memupuk nilai saling menghormati antara jururawat dan warga emas yang dilayan umpama ahli keluarga sendiri.

Tuesday, August 21, 2012

terpenjara di negara asing

Bungkus gula-gula di penjara


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
PASIR PUTEH: Selepas sunyi tanpa khabar berita, gadis yang meringkuk di Penjara Guangzhou, China kerana kesalahan mengedar dadah pada 2007, Umi Azlim Mohamad Lazim, 28, kini memberi motivasi kepada penghuni baru penjara itu dan melakukan pekerjaan membungkus gula-gula.
Perkembangan terkini graduan ijazah sarjana muda Sains Biologi dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu dimaklumkan ibu saudaranya, Noraini Jusoh, 44, yang menerima surat Umi Azlim di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Johor, tiga bulan lalu.

Menurutnya, selain memaklumkan apa yang dilakukan di penjara, Umi Azlim memaklumkan rindu kepada keluarganya dan memohon maaf atas apa yang berlaku.
“Yang menyedihkan Umi Azlim turut bertanyakan sama ada kematian ibunya, Umi Slaia Ibrahim disebabkan perbuatannya, namun saya menguatkan semangatnya dengan mengatakan bahawa arwah ibunya meninggal dunia akibat barah leher,” katanya ketika ditemui di kediaman bapa Umi Azlim, Mohamad Lazim Jusoh, 55, di Kampung Tok Khamis, di sini, semalam.

Noraini berkata, anak saudaranya itu turut mengirimkan foto terbaru dan dia kelihatan kurus berbanding sebelum ditahan.

“Saya yakin Umi Azlim akan dibebaskan lebih awal kerana rekodnya baik. Jika memang rezekinya (dibebaskan) Umi Azlim juga menyatakan hasrat untuk terus berada di China selepas menceburi perusahaan berkaitan gula-gula,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan Umi Azlim pada mulanya dijatuhi hukuman mati oleh pihak berkuasa China selepas didapati bersalah membawa masuk dadah dipercayai jenis heroin seberat 2,983 gram ke negara itu, 19 Januari 2007.

Bagaimanapun, Umi Azlim berjaya dalam rayuannya untuk mengetepikan hukuman mati itu dan ditukar kepada penjara seumur hidup. Umi Azlim dikatakan bekerja dengan sebuah syarikat yang menjual alat mengurut kaki milik seorang lelaki yang dikenali sebagai Datuk Anas di ibu negara. Ketika ditahan sebaik tiba di Lapangan Terbang Shantou, China, dadah itu ditemui tersorok dalam baju sejuk dalam bagasinya.
Sementara itu, Mohamad Lazim berkata, kini genap lima tahun Umi Azlim menyambut Aidilfitri di penjara dan yakin anaknya itu sihat.

dilarikan

‘Ambillah kereta saya’

Oleh Siti Azila Alias
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
LAPOR...Musyrif menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kereta miliknya dilarikan penjenayah.
LAPOR...Musyrif menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas kereta miliknya dilarikan penjenayah.
KEPALA BATAS: “Dalam keadaan cemas, saya hanya mampu merayu kepada lelaki itu supaya tidak mengapa-apakan saya dan anak. Jika dia nak ambil kereta, ambillah, tapi tolong lepaskan saya dan anak,” kata Nurul Izzah Khalid, 26, ketika menceritakan detik cemas menjadi ‘tawanan’ 10 minit oleh seorang lelaki yang melarikan keretanya dalam kejadian dekat simpang keluar Kompeks Dato’ Kailan, di sini, Sabtu lalu.
Nurul Izzah ketika ditemui di rumahnya di Pajak Song berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku sebaik suami keluar dari kenderaan untuk membeli ubat anak mereka, Muhammad Qayyum Musyrif, lima bulan yang demam di sebuah farmasi berhampiran, kira-kira jam 4.30 petang.

Menurutnya, dia baru hendak mengunci pintu kereta, sebelum seorang lelaki tiba-tiba meluru masuk dan terus menekan pedal minyak.
“Saya jadi panik kerana lelaki itu terus memecut laju dan mahu membawa saya dan anak bersama kereta ke Pulau Pinang. Saya menghubungi suami menggunakan telefon bimbit yang masih di tangan bagi meminta bantuan.

“Lelaki itu marah dengan tindakan saya dan bertindak mahu merampas telefon dari genggaman, tetapi tidak berjaya sebelum menarik tangan anak dan mengugut mahu membunuh kami berdua,” katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Dia yang juga adik kepada Ketua Biro Bernama Perak, Muna Khalid berkata, dalam keadaan cemas itu dia merayu supaya lelaki berkenaan melepaskan dia dan anak.
Mengalah dengan rayuan itu, lelaki berbadan kurus berusia 20-an itu kemudian memberhentikan kenderaan di tengah jalan sebelum menolak mangsa dan anaknya keluar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah menyifatkan tindakan lelaki itu tidak bijak dan kemungkinan masih baru dalam ‘bidang’ berkenaan kerana tidak tahu cara membuka kunci kereta.
Lelaki itu juga, katanya, dilihat panik dengan menekan semua butang yang ada sebelum pintu itu dapat dibuka.

Sementara itu, suami mangsa, Musyrif Abu Bakar, 29, yang menyedari kejadian bertindak mencari isterinya dengan bantuan orang ramai yang melihat kejadian itu sebelum menemui anak dan isterinya ditinggalkan 500 meter dari lokasi kejadian.

Musyrif berkata, dia bersyukur kerana isteri dan anaknya selamat walaupun kereta Proton Pesona warna gangsa yang baru dibeli tahun lalu hilang.

Turut dilarikan wang tunai RM200 bersama barangan keperluan hari raya.

Berikutan kejadian itu, laporan dibuat di Balai Polis Kepala Batas. “Seorang rakan memberitahu ada terlihat kereta saya di sekitar Sungai Dua kira-kira jam 6 petang hari kejadian, tetapi sehingga kini kereta itu masih belum ditemui,” katanya yang menyifatkan kejadian itu sebagai pengajaran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata siasatan masih lagi dijalankan.

Sunday, August 19, 2012

padah main dekat eskalator

Anak hilang 3 jari tersepit eskalator


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEORGETOWN: Kegembiraan tujuh sekeluarga menyambut kedatangan 1 Syawal dengan membeli-belah bertukar tragedi apabila anak bongsu mereka berusia 18 bulan putus tiga jari selepas terjatuh dan tersepit di celah tangga eskalator yang masih bergerak di sebuah pasar raya di Jalan Dr Lim Chwee Leong, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 9.30 malam, Al-Aqif Zulkifli putus jari tunjuk, hantu dan manis tangan kiri selepas terjatuh ketika bermain bersama abangnya berhampiran tangga eskalator yang bergerak.

Bapanya, Zulkifli Osman, 52, berkata ketika kejadian, dia bersama isteri, Norwila Mohd Idris, 46, berada di sebuah premis menjual alat elektronik dan ketika itu lima anaknya berusia antara 18 bulan hingga 15 tahun berada berhampiran kedai itu.
Katanya, ketika membeli-belah, dia terdengar bunyi bising dan jeritan orang ramai menyatakan ada kanak-kanak lelaki tersepit di tangga eskalator.

“Saya bergegas ke eskalator dan terkejut mendapati kanak-kanak yang tersepit itu adalah anak saya. Ketika itu pengawal keselamatan serta orang ramai membantu mengeluarkan jarinya yang tersepit.

“Dia menjerit kesakitan dan selepas beberapa minit, jari anak saya berjaya dikeluarkan selepas tangga eskalator dihentikan. Mereka turut mencari jari anak saya sebelum saya membawanya ke sebuah hospital swasta,” katanya ketika ditemui di hospital itu kelmarin.
Zulkifli berkata, selepas mendapatkan rawatan dan atas nasihat doktor tiga jari anaknya terpaksa dipotong.

“Jari tunjuk dan manis hancur manakala jari hantu yang terputus itu berjaya ditemui tetapi doktor menasihatkan tiga jari anak saya itu perlu dipotong. Saya reda, namun pada masa sama bersyukur kerana Al-Aqif terselamat.
“Kegembiraan untuk menyambut hari raya kali ini bertukar sedih dengan kejadian ini,” katanya.

pilu syawal

‘Nak isteri saya balik’

Oleh MUHAMAAD RAZIS ISMAIL
razis@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
REMUK... bahagian depan kereta mangsa hancur selepas bertembung dengan lori ais. Gambar kecil Maisarah.
REMUK... bahagian depan kereta mangsa hancur selepas bertembung dengan lori ais. Gambar kecil Maisarah.
PILU... Uda tidak dapat menahan kesedihan.
PILU... Uda tidak dapat menahan kesedihan.
KOTA BHARU: “Saya nak isteri saya balik,” kata Uda Sarimin, 31, suami Maisarah Mohd Ali, 34, yang maut bersama dua anaknya berusia empat dan tujuh tahun dalam nahas ngeri di depan Sekolah Menengah Kebangsaan Pak Badol, Melor, di sini, semalam.
Kesedihan Uda tidak boleh dibendung lagi kerana beberapa jam sebelum kejadian, ketiga-tiga insan tersayang menghantarnya ke lapangan terbang, malah nahas berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi, Maisarah yang memandu Perodua Viva dikatakan gagal memotong kenderaan di depannya sebelum bertembung dengan sebuah lori ais yang datang dari arah bertentangan.
Kemalangan itu mengakibatkan mangsa bersama anaknya, Zakiah Hanim Uda, 4, mati di tempat kejadian manakala anak bongsunya, Rasyidah, 2, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian akibat cedera parah di kepala.

Anak saudaranya, Aisyah Shakilah Mohd Zukri, 7, cedera parah di kepala serta patah kedua-dua kaki dan menerima rawatan Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM. Pemandu lori, Adnan Jusoh, 38, tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Ab Rahim Che Ghani berkata, kejadian dikatakan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Selinsing, Pasir Puteh selepas menghantar suaminya di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa.
“Setiba di tempat kejadian, mangsa dikatakan cuba memotong kenderaan di depannya tanpa menyedari sebuah lori datang dari arah bertentangan.

“Mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh lori,” katanya.
Katanya, mangsa dan anaknya berusia tujuh tahun maut di tempat kejadian selepas tersepit di kerusi depan, manakala anaknya berusia dua tahun meninggal dunia di hospital dan anak saudaranya cedera parah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, seorang saudara mangsa yang enggan dikenali berkata, suami mangsa pulang dari Putrajaya ke Kelantan bersama isteri dan dua anaknya untuk menghantar keluarganya berhari raya dengan kereta sebelum terpaksa pergi ke Johor atas urusan kerja pada hari sama dengan kapal terbang.

“Mereka tiba di kampung jam 2.30 pagi dan tidak tidur sementara menunggu sahur.

“Mangsa bersama dua anak dan seorang anak saudaranya menghantar suami ke lapangan terbang sebelum kemalangan berlaku dalam perjalanan pulang,” katanya.

Dalam pada itu, suasana sedih menyelubungi perkarangan bilik mayat HUSM apabila ahli keluarga terdekat, termasuk Uda, datang menuntut mayat isteri dan dua anaknya pada jam 1 tengah hari.

Uda yang kelihatan lemah dan menangis teresak-esak terpaksa diusung dengan kerusi roda sebelum dipapah dan ditenangkan oleh ahli keluarga.

Usaha media mendapatkan komen Uda gagal selepas dia kelihatan masih terkejut dengan kejadian yang menimpa keluarganya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Azmi Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan jam 9.02 pagi dan tiba di tempat kejadian 10 minit kemudian dengan sebuah jentera dan lima anggota dengan bantuan Bomba Ketereh dan Pasir Puteh.

Tuesday, August 14, 2012

meja buruk punya pasal

Maut kerana meja usang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim dan Siti Norhidayatidayu Razali
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
TRAGIS...jenazah Azhari (gambar kecil) dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Serdang.
TRAGIS...jenazah Azhari (gambar kecil) dibawa keluar dari Bilik Mayat Hospital Serdang.
SERDANG: Hanya kerana meja usang, seorang peniaga minuman mati dibelasah sekumpulan lelaki dalam kejadian di sebuah tapak perniagaan di Seri Kembangan, di sini, awal pagi semalam.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas mangsa, Azhari Sidek, 44, mengambil sebuah meja usang ditinggalkan di kaki lima tempat kejadian sebelum diletakkan berhampiran gerai miliknya.

Bagaimanapun, tindakan mangsa itu tidak disenangi seorang lelaki yang mendakwa meja berkenaan miliknya hingga berlaku pergaduhan kira-kira jam 2 pagi.
Lelaki terbabit dikatakan menjalankan perniagaan di kawasan sama.

Adik angkat mangsa yang enggan dikenali ketika ditemui Harian Metro di pekarangan Bilik Mayat Hospital Serdang, di sini, berkata akibat rasa tidak puas hati itu, lelaki terbabit memanggil beberapa rakannya untuk membelasah abangnya.

“Abang saya dibelasah lebih 12 lelaki. Ketika itu, ramai peniaga dan pengunjung menyaksikan kejadian itu namun tiada sesiapa yang berani membantu.
“Melihat keadaan abang yang sudah longlai dan tidak sedarkan diri, semua mereka melarikan diri. Orang ramai kemudian menghubungi ambulans sebelum abang dihantar ke Hospital Serdang,” katanya.

Bagaimanapun, abangnya meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Adik mangsa, Hamizi Sidek, 40, berkata dia menerima panggilan daripada pihak hospital memaklumkan abangnya sudah meninggal dunia dan memintanya datang ke hospital.

“Saya tidak tahu apa berlaku tetapi mengikut laporan polis abang saya dipukul sekumpulan lelaki. Abang saya sudah menjalankan perniagaan di tapak perniagaan itu sejak lima tahun lalu.

“Hasil bedah siasat, abang saya dimaklum meninggal kerana serangan jantung akibat dipukul dengan teruk. Saya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan dan menahan mereka yang bertanggungjawab,” katanya.

Bekas isteri mangsa dan tiga anak lelakinya masing-masing berusia 15 tahun dan kembar mereka berusia 12 tahun kelihatan tiba di bilik mayat hospital itu kira-kira jam 5 petang selepas dimaklumkan kematian mangsa.

Tiga anak lelaki arwah hanya mampu menitiskan air mata sebaik menatap wajah bapa mereka buat kali terakhir sebelum dikafankan dan dibawa menaiki van jenazah.

Difahamkan, jenazah akan dibawa pulang ke kampung halaman di Mengkarak, dekat Temerloh, Pahang dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam kampung berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan malah pihaknya sedang berusaha mengesan suspek.

Monday, August 13, 2012

padah mercun

Padah mercun buatan sendiri
ROSALWANI CHE SOH
13 Ogos 2012
Zaid Ahmad
Pergelangan tangan Mohd Shahril yang hancur selepas terkena serpihan mercun buatan sendiri.
KOTA BHARU-Padah bermain mercun! Dua remaja cedera parah dengan salah seorangnya hancur di bahagian pergelangan tangan kanan selepas terkena serpihan mercun buatan sendiri ketika menyalakan bahan letupan terbabit di padang Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjung, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.50 tengah hari itu berlaku ketika kedua-duanya yang dipercayai bekerja sebagai pengangkut barang di kawasan terbabit, menyalakan 20 biji mercun bola yang diubah suai dengan diletakkan dalam sebuah bekas.
Akibat tindakan mereka itu, Mohd Shahril Affendi, 20, hancur di pergelangan tangan kanan manakala Mohd Ahmad Ismail, 19, melecur di bahagian badan dan kabur kedua-dua mata kiri dan kanan.
Kedua-dua dua mangsa dikejarkan pihak ambulans dari Klinik Kesihatan Wakaf Che Yeh ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk rawatan susulan.
Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II, Zaid Ahmad berkata, kedua-dua mangsa dalam keadaan stabil, namun mengalami kecederaan parah.
“Kini mangsa dirujuk di unit kecemasan hospital sebelum dipindahkan ke wad biasa. Dipercayai kedua-dua mangsa berasal dari Kampung  Pangkal Dalam, Pasir Mas,” katanya.
Bagaimanapun kedua-dua mangsa enggan ditemubual ketika Sinar Harian cuba mendapatkan mereka di wad kecemasan terbabit.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan dari pihak hospital.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda di bawah seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 selain dipenjara lima tahu atau dikenakan denda RM 10,000.
“Saya nasihatkan agar orang ramai lebih berhati-hati dan tidak melanggar undang-undang kerana bermain mercun bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah orang lain kerana ia bakal mengundang kejadian yang tidak diingini,” katanya.
Kejadian terbabit merupakan kes keempat di negeri ini, selepas kejadian di Gua Musang, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Sunday, August 12, 2012

anak hadiah kereta

Mariam menangis dihadiahkan kereta


KERETA jenis Ford Fiesta pemberian anak Mariam kepadanya.


TENAGA Mariam Abdul masih kuat meskipun usianya sudah melebihi 70 tahun. Dia juga bersyukur kerana tidak menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan masalah jantung.
Lututnya juga sihat, tidak seperti kebanyakan wanita yang seusianya.
“Alhamdulillah saya boleh melakukan urusan harian dan beribadat seperti biasa,” ujar beliau.
Kehidupan ibu tunggal ini boleh dikatakan lengkap serba-serbi.
Malah, mungkin ramai yang kagum melihat nenek kepada lapan orang cucu ini memandu sebuah kereta baharu yang sporty.
Kereta jenis Ford Fiesta berwarna merah berharga lebih RM80,000 itu merupakan pemberian anaknya pada awal tahun ini.
“Anak sulung bersungguh-sungguh minta saya datang ke rumahnya.
“Dia mengajak saya untuk makan tengah hari tetapi dia berikan kereta pula.
“Saya menangis dan berasa sangat bersyukur semasa dia memberikan kunci kereta itu kepada saya,” cerita Mariam yang ditemui di kediamannya di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor.
Sebelum ini, Mariam menggunakan kereta Proton Wira sahaja.
“Ia memang selesa dan laju berbanding kereta sebelum ini. Jawatan sebagai Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur memerlukan saya pergi ke beberapa tempat pada kadar segera.
Duniawi
“Selain itu, mudah untuk saya ke surau dan masjid bagi mengikuti kelas pengajian agama di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Rasa seperti orang muda pun ada,” katanya ketawa.
Kru Jurnal sempat menaiki kereta bergear automatik itu sambil dipandu Mariam.
Ternyata, gaya pemanduan Mariam seperti orang muda yang dapat mengawal stereng dengan kemas. Adakalanya dia memecut melebihi 100 kilometer sejam menyebabkan penulis kecut perut.
“Orang lama macam saya suka mendengar lagu-lagu lama di stesen radio Klasik Nasional,” cerita Mariam.
Sebenarnya, kereta baharu itu tidak pernah diminta oleh Mariam. Pada penghujung usia sekarang, dia menganggap hubungan dan kasih sayang ibu-anak adalah sumber kegembiraan sejati yang melebihi daripada segala kebendaan duniawi.
Daripada pengamatan penulis, wanita ini sememangnya bahagia dengan kehidupannya walaupun dia terpaksa bergelar ibu tunggal selama kira-kira 30 tahun.
Mariam yang berasal dari Sungai Petani, Kedah bercerai dengan suami setelah 17 tahun mendirikan rumah tangga. Dia berkahwin semasa berumur 25 tahun.
Dia tidak menyalahkan bekas suami atas keruntuhan mahligai perkahwinan mereka sebaliknya menganggap ia dugaan Tuhan untuk menjadikannya lebih matang dan kuat.

Ibu tunggal
“Sebelum bercerai, saya sudah cuba hidup bermadu selama empat tahun tetapi akhirnya saya tidak mampu meneruskannya lagi. Namun begitu, selepas bercerai saya dan bekas suami sepakat dalam soal penjagaan dan pendidikan anak-anak,” katanya.
Empat orang anak Mariam kesemuanya boleh dikatakan berjaya dalam kerjaya sekarang termasuk menjadi ahli perniagaan.
“Zuriat yang kita peroleh sebenarnya amanah daripada Allah, begitu juga dengan diri kita sendiri.
“Sementara ada kesempatan kita mesti menjaga dan mendidik mereka secukupnya agar seimbang dunia dan akhirat,” ujarnya.
Tidak lama selepas bergelar ibu tunggal, Mariam menubuhkan Persatuan Ibu Tunggal Mutiara Kuala Lumpur.
“Setakat ini, kami memperoleh 200 orang ahli yang rapat antara satu sama lain,” cerita Mariam.
Kebiasaannya, ahli persatuan ini akan berkumpul di Dewan Flat Pusat Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Danau Kota, Kuala Lumpur untuk aktiviti bersama.
“Kami sering menganjurkan ceramah undang-undang dan perniagaan, kelas memasak dan ceramah motivasi.
“Sebenarnya, nasib ibu tunggal di negara ini telah banyak berubah hasil keprihatinan kerajaan. Malah, ramai yang berjaya termasuk menjadi tukang urut, pembuat kek, peniaga kedai runcit dan bergelar usahawan,” ujarnya.
Tegas Mariam, dia tidak ingin ibu tunggal sekadar merayu-rayu bantuan.
“Mereka perlu berusaha sebaik mungkin tanpa perlu meraih simpati orang lain bagi mendapatkan pertolongan,” katanya.
Mariam tidak menolak ada dalam kalangan ibu tunggal yang menjadi mangsa perlakuan ganas bekas suami.
“Ada yang disimbah asid di muka kerana meminta cerai. Kemudian, proses mahkamah pula mengambil masa yang lama untuk diselesaikan.
“Tetapi sekiranya terdapat campur tangan pihak media dan orang politik, masalah mereka lebih cepat selesai,” ujarnya.