Monday, December 3, 2012

penggali kubur

Cerita seorang penggali kubur
Wartawan Sinar Harian
3 Disember 2012
Cerita seorang penggali kubur
Menjaga kebersihan dan menambak kubur yang mendap juga merupakan tanggungjawab Sri Mulyadi di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.
Cerita seorang penggali kubur
Memotong papan untuk dijadikan penutup lahad.
SESETENGAH orang menganggap tanah perkuburan satu tempat yang menakutkan. Namun bagi Sri Mulyadi Sri Soetarmanto, 47, tanah perkuburan boleh memberi ketenangan.  Setelah lebih 30 tahun berkhidmat sebagai penggali kubur, Sri menganggap inilah dunianya.
Sejak kecil, anak kesembilan daripada 12 beradik ini sudah biasa mengikut bapa menguruskan jenazah dan menggali kubur di Sungai Bertik, Klang, Selangor. Malah hari ini, Sri memikul tanggungjawab sama di kampung halamannya itu selain bertugas di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Asalnya saya hanya perhatikan ayah. Lama-lama minat datang dengan sendiri bila ayah minta saya warisi tugasnya. Kata ayah, kalau tak ada anak muda yang sambung, lama-lama tak ada orang boleh laksanakan fardu kifayah ini,” ujar Sri.

Sudah rezeki, dia sangat bersyukur apabila diterima bekerja tetap bersama MBSA mulai 1984 walaupun pada asalnya hanya mengambil upah mengorek longkang.

Pernah melalui zaman di mana mayat dibawa menaiki basikal dan digandar dengan buluh untuk dibawa ke tanah perkuburan ketika masih kecil, Sri menyatakan kerja menggali kubur juga melalui peredaran masa. Jika dahulu satu liang lahad mengambil masa empat jam setengah untuk digali menggunakan cangkul, kini masa dan tenaga dijimatkan dengan penggunaan van jenazah dan jengkaut.

“Dahulu purata pengebumian hanya empat ke lima orang sahaja sebulan. Sekarang ini boleh sampai 48 orang,” ujar Sri, merujuk kepada tanah perkuburan tempatnya berkhidmat.

Sedia 24 jam

Selain Sri yang paling lama bertugas sebagai penggali kubur di bawah MBSA, dia mempunyai empat rakan sekerja lain iaitu Zuraimi Chesman, Muhammad Asri Nasarudin,  Ahmad Jali Suwarno dan Mohd Ramli Mat Isa. Mereka bekerja di bawah seliaan Noor Esa Sahid, 50, bagi Jabatan Perkhidmatan Bandar.
Kebiasaannya, liang lahad akan digali sebaik sahaja mereka menerima panggilan telefon memaklumkan terdapat kematian. Daftar kematian atau permit mengubur turut diperlukan dari hospital atau balai polis sebagai bukti. Mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI), liang lahad mesti selesai digali dalam masa dua jam sebaik berita diperoleh.

“Dulu bila nak terima berita kematian, ada juga rasa lain macam seperti gatal tangan atau sakit bahu. Tapi bila dah lama bekerja dan kadar kematian makin tinggi, dah tak rasa apa dah.

“Apa pun, bagi saya niat mesti baik dan ikhlas. Jangan simpan rasa buruk sangka terhadap jenazah yang hendak dikebumikan kerana hanya ALLAH yang maha mengetahui,” ucap Sri sambil berseloroh, janji dengan orang mati lebih senang berbanding dengan yang masih hidup.

“Jenazah biasanya dikebumikan pada waktu siang.  Tapi ada juga kes seperti mayat tidak boleh disimpan di rumah atas kebenaran doktor, sudah berbau, terlibat dalam kemalangan ngeri, pesakit HIV atau meninggal di luar negara yang memerlukan pengebumian segera,” tambahnya.
Waktu kerja Sri dan rakan-rakan sama seperti waktu pejabat dan bercuti pada Sabtu dan Ahad. Begitu pun, penggali kubur mesti bersedia 24 jam. Tidak hairanlah, cuti tahunan masih banyak berbaki.

Bagi Sri, komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kerjanya terserlah apabila dia masih ke kubur untuk menggali liang lahad  pada hari pernikahannya sebelas tahun dulu.
Rakannya, Jali Suwarno pula sanggup meninggalkan majlis pertunangan anak demi tuntutan tugas dan menunaikan tanggungjawab tersebut.

Dapat dua 'gaji'
Apabila sudah biasa menggali liang lahad, perasaan Sri sudah sebati terhadap kuburan. Begitu pun sebagai manusia biasa, dia pernah melalui pengalaman sedih apabila terpaksa menggali pusara demi insan rapat dan disayangi dalam hidupnya.
“Selain abang kandung dan bapa mentua, saya pernah uruskan jenazah kawan baik yang meninggal dunia dalam keadaan tak disangka-sangka.

“Seorang daripadanya baru sahaja makan malam bersama saya. Tiba-tiba esoknya saya dimaklumkan dia sudah tiada akibat kemalangan.
“Seorang lagi, ceritakan masalah keluarga dan minta pandangan. Saya nasihatkan dia pulang minta maaf dan cium tangan orang tua. Siapa sangka, dia meninggal dunia dalam perjalanan pulang tersebut,” cerita Sri.

Selain itu, dia melalui pengalaman yang dirasakan dapat dijadikan iktibar buat dirinya dan orang sekeliling. Betapa jika ketika hayat melakukan banyak amalan kebaikan, ALLAH SWT akan memudahkan urusan dunia dan akhirat. Contohnya, urusan menggali kubur dan mengebumikan mayat menjadi sangat mudah dan lancar.
“Kejadian yang tak dapat dilupakan bila saya pernah diminta membawa van jenazah seorang imam ke Muar, Johor. Sebelum itu, arwah ada menyatakan hasrat untuk   dikebumikan sebelum solat Jumaat.
“Perjalanan seolah-olah dipermudahkan apabila lampu isyarat bertukar hijau sepanjang perjalanan dan sedar-sedar, sudah tiba di destinasi dalam masa 55 minit sahaja. Sedangkan perjalanan balik semula ke Shah Alam, ambil masa lebih tiga jam,” katanya.
Bakti Sri terhadap masyarakat bagaimanapun masih disedari pihak berkaitan. Walaupun tidak pernah menaruh harapan untuk mendapat balasan atas khidmat dilakukan kepada masyarakat, Sri pernah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Selangor.
Dia turut menerima sijil tertinggi dalam bidangnya iaitu Kursus Pengurusan Jenazah Perdana dan meraih Pekerja Perkhidmatan Cemerlang MBSA pada 1999 dan 2009.
“Walaupun ada yang anggap tugas penggali kubur ini kerja tak glamor dan ditolak ramai orang, saya bersyukur sebab dapat dua gaji.
“Satu gaji di dunia dan satu lagi, gaji di akhirat insya-ALLAH,” ujar Sri yang sudah menganggap tanah perkuburan adalah kampung halaman yang sentiasa dekat di hatinya.

Sunday, November 25, 2012

kahwin cepat elak maksiat

'Ini cara kami cegah gejala maksiat'

MOHD. Fahmi bersama Nur Fazira mengenakan pakaian pengantin serba putih pada kenduri perkahwinan mereka di Kampung Naga Lilit, Padang Serai semalam.


PADANG SERAI - Dalam keadaan banyak pasangan remaja terus leka bercinta, Mohd. Fahmi Mohd. Alias, 18, dan Nur Fazira Saad, 12, mengambil jalan nekad dan berani untuk berkahwin bagi menguji sejauh mana kesetiaan mereka menghadapi cabaran hidup bersama.
Mereka telah dinikahkan oleh Imam Masjid As-Sobirin Padang Cina di sini, Mohd. Nazar Husain pada 17 November lalu sebelum mengadakan majlis kenduri yang dihadiri kira-kira 200 tetamu di rumah pengantin lelaki di Kampung Naga Lilit di sini semalam.
Menurut Mohd. Fahmi, perkahwinan adalah jalan penyelesaian terakhir bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini.
"Saya berkahwin awal bagi mengelak timbul perkara buruk. Ini cara terbaik untuk kami mencegah maksiat," katanya yang bersyukur keluarga isterinya memberi keizinan kepada mereka untuk bernikah.
Mohd. Fahmi yakin pendapatannya sebanyak RM1,000 sebulan hasil bekerja membantu bapanya menguruskan kebun kelapa sawit cukup untuk menampung kos kehidupan bersama Nur Fazira.
Isterinya itu yang akan mencapai usia 13 tahun pada 24 Disember ini pula yakin mampu melaksanakan tanggung jawab baharu sebagai isteri.
"Apa yang penting ialah kasih sayang. Pasal anak kami belum fikirkan lagi," katanya.

Thursday, November 22, 2012

kahwin 13 tahun


Pengantin budak

Oleh Azahar Hashim
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIA...Mohd Fahmi dan Nor Fazira dapat restu keluarga.
SEDIA...Mohd Fahmi dan Nor Fazira dapat restu keluarga.
KULIM: “Saya akan bertanggungjawab malah sudah bersedia untuk menjadi seorang suami yang baik,” kata Mohd Fahmi Alias, 19, yang berkahwin dengan Nor Fazira Saad, 13, di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu.
Mohd Fahmi berkata, dia dan isterinya akan berdikari selain menumpukan perhatian kepada perniagaan keluarga untuk melalui kehidupan sebagai suami isteri.

Menurutnya, atas persetujuan kedua-dua ibu bapa mereka dan untuk mengelak berlaku maksiat adalah lebih baik mereka berdua berkahwin walaupun pasangannya itu masih muda remaja.
“Saya mengambil keputusan itu selepas mengadakan perbincangan dengan Nor Fazira serta keluarganya dan keluarga saya sendiri.

“Kedua-dua ibu bapa kami bersetuju untuk mengahwinkan kami, malah Nor Fazira sendiri sanggup mengalas tanggungjawab dan sudah bersedia menjadi seorang isteri.

“Daripada bergelumang maksiat dan melakukan perkara yang dilarang, jalan terbaik ialah kami berkahwin, walaupun pada pandangan masyarakat ia agak janggal pada zaman sekarang ini kerana berkahwin pada usia terlalu muda.
“Malah saya tidak menghalang sekiranya isteri ingin melanjutkan pelajaran, semua bergantung kepada kepada kemahuannya,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kampung Naga Lilit, di sini, semalam.

Katanya, mereka akan mengadakan majlis kenduri di sebelah lelaki pada Sabtu ini di rumah keluarganya.
Mohd Fahmi yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia sudah bersedia bergelar suami dan tidak kisah pandangan rakan-rakan seusia.

Isterinya, Nor Fazira tidak mengganggap usia mudanya menjadi penghalang untuk menjadi isteri isteri dan sudah bersedia menjalankan tanggungjawabnya itu.

“Yang penting kami mendapat restu kedua-dua ibu bapa kami dan saya banyak menerima tunjuk ajar daripada keluarga mentua.

“Saya tidak kisah apa orang lain kata, penting perbuatan kami tidak salah, malah adalah lebih baik daripada kami terbabit gejala sosial,” katanya yang tidak bersekolah sejak menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), tahun lalu.

Sementara itu, bapa Nor Fazira, Saad Mustaffa, 43, berkata, tindakannya mengahwinkan anak di usia muda kerana mahu menjaga nama semua pihak dan tidak mahu anaknya terjebak maksiat.

Katanya, dia membenarkan anak gadisnya itu berkahwin kerana Nor Fariza enggan pulang ke rumah dan mahu tinggal di rumah teman lelakinya. “Siapa tak sayangkan anak dan sanggup untuk mengahwinkan mereka dalam usia terlalu muda, namun saya terpaksa juga mengahwinkan anak saya walaupun usianya baru 13 tahun bulan depan.

“Hanya Allah tahu perasaan saya... walaupun pahit demi untuk menjaga nama baik keluarga saya dan keluarga besan lebih baik saya mengahwinkan anak dengan lelaki pilihannya.

“Anak saya bernikah pada 17 November lalu selepas mendapat perintah kebenaran untuk bernikah di bawah umur daripada Mahkamah Rendah Syariah Kulim pada 7 November lalu,” katanya.

Dia berkata, majlis pernikahan mereka berlangsung di Masjid Kampung Padang Cina, di sini, pada 17 November lalu dengan wang hantaran RM4,552 serta mas kahwin RM1,500.

“Saya berharap menantu serta keluarganya membimbing anak saya menjadi anak dan isteri yang baik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Radzi Abdul Mutalib, berkata, bagi perempuan berusia 16 tahun ke bawah dan lelaki berusia 18 tahun ke bawah, mereka perlu mendapatkan perintah mahkamah untuk kebenaran bernikah di bawah umur dari Mahkamah Rendah Syariah Kulim.

“Ia mengikut seksyen 18 (1)(a) Enakmen Undang Undang keluarga Islam Kedah 2008,” katanya.

Thursday, November 8, 2012

demi rezeki

Nenek perkasa

Oleh Asmizan Mohd Samiran dan Rohaiza Abdul Rahman
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
CERGAS...Nik Haripah mengemudi sendiri bot yang dipenuhi tong gas.
CERGAS...Nik Haripah mengemudi sendiri bot yang dipenuhi tong gas.
KUAT...Nik Haripah mengangkat tong gas yang diambil daripada pembekal.
KUAT...Nik Haripah mengangkat tong gas yang diambil daripada pembekal.
TUMPAT: Seorang wanita warga emas berusia 63 tahun layak digelar ‘nenek perkasa’ apabila masih mampu mengangkat 10 tong gas sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dengan berulang-alik mengemudi sendiri bot enjin sangkut miliknya dari kediamannya yang dijadikan kedai runcit di Pulau Teluk Ranjuna ke Pengkalan Kok Majid, di sini.
Dengan berbaju kurung dan berkain batik, malah bertubuh kecil, Nik Haripah Othman mengemudi bot untuk 10 minit perjalanan demi mencari rezeki halal bagi mendapatkan pendapatan tambahan selain wang dikirim tujuh anaknya.

Nik Haripah yang mempunyai 10 cucu berkata, dia melakukan pekerjaan itu sejak enam tahun lalu tanpa kekok dan mengakui sihat tanpa sebarang penyakit sehingga kini.
“Tiada apa rahsia diamalkan sehingga saya mampu melakukan pekerjaan itu walaupun berusia 63 tahun. Mungkin sepanjang hidup saya sering makan nasi bersama ulam-ulaman.

“Walaupun ada yang bimbang melihat saya mengemudi bot dengan muatan tong gas, saya sentiasa membaca doa menaiki kenderaan dan dimurahkan rezeki sebelum mengemudi bot. Saya berserah kepada Allah SWT,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Menurutnya, selain gas yang dijual mendapat permintaan daripada penduduk pulau berdekatan, dia membekalkan gas ke Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru, di sini dengan keuntungan RM2.50 bagi setiap tong.
“Memang anak saya menyuruh berhenti melakukan kerja ini kerana bimbang keselamatan saya, tetapi saya minat berniaga dan masih ada tenaga bekerja.

“Lagi pun suami menghidap asma dan tidak boleh melakukan kerja berat. Sekurang-kurangnya, pendapatan ini boleh digunakan untuk membeli keperluan harian,” katanya yang menjaga ibunya, Nik Mariam Nik Hasan, 90, yang uzur.
Nik Haripah berkata, dia pernah berdepan detik cemas apabila tong gas diangkat jatuh ke dalam sungai.

“Dengan doa dan pengalaman dimiliki membuatkan saya terus melakukan pekerjaan ini sehinggalah saya tidak mampu melakukannya.

“Apapun saya berharap ada pihak sudi membantu saya membesarkan perniagaan,” katanya.

Monday, November 5, 2012

bilik sempit

Hidup dalam bilik sempit

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
DAIF... Johari dan Sania reda menjaga tiga anak, termasuk seorang OKU, di bilik sewaan tempat tinggal mereka.
DAIF... Johari dan Sania reda menjaga tiga anak, termasuk seorang OKU, di bilik sewaan tempat tinggal mereka.
KUALA LUMPUR: Kedaifan hidup menyebabkan sepasang suami isteri terpaksa membesarkan tiga zuriat mereka, termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) di sebuah bilik sempit di Chow Kit, di sini, yang hanya layak dijadikan stor menyimpan barang.
Begitulah penderitaan Sania Taib, 41, bersama suami, Johari Md Salleh, 40, dalam mengharungi kehidupan di ibu kota, termasuk membesarkan anak istimewa berusia 12 tahun yang hanya terlantar sejak lahir.

Wanita berasal dari Taman Datuk Rashid, Kuantan, Pahang itu berkata, walaupun terpaksa bersesak di bilik sempit, dia dan suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tabah membesarkan zuriat dalam keadaan serba daif.
“Gaji suami sebagai pengawal keselamatan tidak seberapa dan dengan kudratnya itu, dapatlah kami menyewa bilik sempit ini dengan bayaran RM250 sebulan.

“Kami tidak dibenarkan memasak selain terpaksa berkongsi dua bilik air dengan 10 keluarga lain yang turut menyewa bilik di sini.

“Sebagai isteri, saya harus bijak mengagihkan pendapatan untuk saraan sekeluarga, termasuk makan dan minum setiap hari, serta urusan membawa anak ke klinik dan ubat-ubatannya setiap bulan.
“Memandangkan kami berasal dari pantai timur, sukar mendapat bantuan pelbagai pihak seperti Baitulmal atau Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Lagipun, saya baru dua bulan di Kuala Lumpur. Jika dapat bantuan, sikit sebanyak ia mampu meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui Metro Ahad.
Sania berkata, anak sulung mereka, Siti Nurasyikin, 12, memerlukan penjagaan rapi akibat penyakit saraf dialami sejak lahir, menyebabkan dia terpaksa memberi tumpuan sepenuh masa terhadap kanak-kanak itu.

Selain masalah saraf, Nurasyikin mengalami penyakit jantung berlubang, manakala berat badannya hanya 7.8 kilogram seperti seorang bayi.

Katanya, anak kedua mereka, Mohd Salman, 11, pula terpaksa berhenti sekolah sejak dua tahun lalu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya bersama suami hingga terlantar di hospital.

Menurutnya, walaupun Salman beria-ia mahu meneruskan persekolahan, dia buntu memikirkan cara menyekolahkan anaknya kerana sukar menguruskan surat pertukaran sekolah berikutan terpaksa menjaga Nurasyikin selain faktor desakan hidup.

“Bayangkan, apabila memerlukan air panas, saya terpaksa berjalan sejauh dua kilometer untuk mengambilnya di sebuah masjid serta meninggalkan anak OKU keseorangan di bilik.

“Saya bernasib baik kerana anak kedua kami banyak membantu, misalnya mencuci pakaian dan menjaga adiknya jika saya sakit dan suami pula bekerja,” katanya.

Anak bongsu Sania, Mohd Shafiq, 6, yang sepatutnya bersekolah Januari depan, belum didaftarkan untuk sesi persekolahan di mana-mana sekolah di ibu kota.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana Rumah Sinar Salam, di sini, bersimpati dengan nasibnya dan menghulurkan bantuan berupa makanan dan barangan keperluan harian bagi meringankan beban ditanggung.

Sania berharap ada pihak sudi membantunya mendapatkan rumah sesuai supaya dapat menguruskan keluarga, terutama anak OKU, dalam keadaan lebih selesa.

Sunday, November 4, 2012

padah biarkan anak 14 pandu kereta

4 maut nahas kereta dipandu pelajar 14 tahun

3 November 2012
kemalangan
Bapa kepada seorang mangsa kemalangan maut membabitkan 4 orang di KM38.5 Jalan Air Panas-Kesang, Hellmi Othman tidak dapat menahan kesedihan di bilik mayat Hospital Jasin.
kemalangan
Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta lain menyebabkan empat terbunuh di KM38.5 Jalan Air Panas-Kesang, Jasin malam tadi. - Foto Bernama
JASIN - Tindakan pelajar tingkatan dua yang memandu kereta bapanya mengundang padah selepas keretanya merempuh sebuah kereta lain dan menyebabkan dirinya dan tiga yang lain maut dalam nahas jalan raya di kilometer 38.5.

Jalan Air Panas-Kesang malam tadi.

Ketua Polis Daerah Jasin, DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata mereka yang maut dalam kejadian 11.15 malam itu ialah pelajar itu, Mohd Hafiz Helmi, 14; pemandu sebuah lagi kereta Mohd Shahir Mat Sahat, 27, serta dua penumpangnya, Hairul Nizam Alias, 34 dan Mohammad Izzuddin Usop, 21.

Beliau berkata kereta yang dipandu Mohd Hafiz dari arah Air Panas ke Kesang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh kereta yang dipandu Mohd Shahir yang datang dari arah Kesang ke Air Panas.

Mohd Shahir dan Mohd Hafiz yang masing-masing tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian, katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Hairul Nizam dan Mohammad Izzuddin meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Jasin, katanya dan menurutnya kesemua mayat dibawa ke hospital yang sama untuk bedah siasat.
 
Katanya tindakan boleh diambil terhadap pemilik kereta yang mengizinkan individu tidak mempunyai lesen menggunakan kenderaannya.

Sementara itu, kakak Mohd Shahir, Nur Shahirah, 32, berkata arwah merancang berkahwin dengan tunangnya pada Jun tahun depan.

Ketika kejadian adiknya itu membawa kereta milik suaminya, katanya ketika ditemui di hospital itu.

Ibu Hairul Nizam, Noriah Md Dim, 62, berkata dia amat terkejut dengan kejadian menimpa anak ketiga dari lima beradik itu bagaimanapun reda dengan ketentuan tersebut.  

"Selalunya makcik baca berita kemalangan menimpa nasib keluarga orang lain tetapi hari ini berlaku kepada makcik," katanya dengan nada sayu dan menurutnya anaknya itu bekerja sebagai pemandu pelancong. - Bernama

Friday, November 2, 2012

terbakar

Persiapan majlis kahwin lebur
Wartawan Sinar Harian
1 November 2012
Mohamad Suhaimi Ismail
Kebakaran menyebabkan beberapa barangan perkahwinan untuk majlis 11 November ini, musnah.
GEMAS – Sebuah keluarga yang menetap di rumah pusaka yang sudah berusia hampir 100 tahun tergamam seketika apabila kediaman yang menyimpan seribu satu kenangan itu musnah sekelip mata dalam kebakaran di Kampung Pasir Besar, dekat sini, malam kelmarin.
Lebih menyedihkan lagi, dalam kejadian kira-kira, 8.47 malam itu, keluarga berkenaan yang sudah siap sedia membuat persiapan majlis perkahwinan pada 11 November ini terpaksa menanggung kerugian yang dianggarkan sebanyak RM150,000.
Menurut Mohamad Suhaimi Ismail, 51, ketika mendapat panggilan mengenai insiden berkenaan daripada adik beradiknya, dia berada di rumah kenalan di Kampung Kurnia Diraja bagi menghantar kad jemputan perkahwinan anak mereka ketiga mereka, Nurul Naqibah Mohamad Suhaimi, 22.
“Mujur saya tidak pergi menjemput di lokasi yang jauh dan bergegas balik ke rumah. Bagaimanapun, sebaik sampai di rumah, sudah tiada apa yang tinggal dan api juga sudah terlalu besar sehingga semua barangan menjadi musnah menjadi debu.
“Malah, tujuh daripada 15 hantaran yang telah siap untuk diberikan kepada pengantin lelaki juga habis terbakar termasuk kad jemputan, bunga telur, cadar pengantin dan lain-lain,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di lokasi kejadian, dekat sini, malam kelmarin.
Suhaimi berkata, pagi hari kejadian, dia baru sahaja menguruskan akad nikah anaknya itu di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Tampin dan tidak menyangka barang hantaran yang ingin diberikan kepada pihak pengantin lelaki semuanya sudah musnah dalam kebakaran itu.
Kembar selamatkan diri

Bagi anak kembar mangsa yang berada di dalam rumah, Nurul Aqilah Husna dan Nurul Aqidah Husna, 12, mereka masih trauma dengan insiden berkenaan lebih-lebih lagi semasa kejadian pintu di bahagian hadapan rumah sudah berkunci.
Aqilah berkata, semasa kejadian, mereka terhidu bau benda terbakar dan sejurus selepas itu bekalan elektrik terputus serta keadaan menjadi gelap-gelita.
“Kami sangat cemas dan saya cepat-cepat membuka pintu hadapan rumah. Namun, adik saya bergegas menyelamatkan diri mengikut pintu belakang dan kami berdua melihat api menjulang tinggi.
“Kami bergegas memberitahu saudara dan nenek yang menetap berdekatan dan saya pula berpatah balik bagi menyelamatkan buku-buku.  Namun, tidak dapat berbuat demikian kerana api sangat besar dan menakutkan,” katanya.
Ubat kanser hangus

Sementara itu, isteri mangsa, Robaiyah Rosad, 48, berkata, susulan dia hanya keluar rumah bagi menjemput undangan perkahwinan anaknya di kampung berhampiran sahaja, segala dokumen pengenalan diri yang terletak di dalam dompet tidak dibawa bersama.
“Ubat-ubatan termasuk ubat kanser yang perlu saya ambil setiap hari juga musnah terbakar dan hanya pakaian serta barangan yang dibawa keluar sahaja yang tinggal.
“Lima basikal dan sebuah motosikal juga musnah. Malah, hantaran yang saya simpan di bilik saya juga sudah tinggal debu,” katanya.
Dua jentera bomba dikejar ke lokasi

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas, Sahidalah Osman berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran tersebut kira-kira jam 8.47 malam dan tiba di lokasi kejadian sekitar jam 9.05 malam.
Menurutnya, dua jentera bomba masing-masing satu dari Balai Bomba dan Penyelamat Gemas dan Bahau dikejarkan ke lokasi termasuk empat anggota bomba sukarela Rompin turut sama menghulurkan bantuan.
“Sebaik tiba di lokasi berkenaan, api sudah marak ke seluruh bahagian rumah papan berkenaan dan kebakaran dapat dikawal daripada merebak ke kawasan berhampiran sekitar jam 9.10 malam.
“Bagaimanapun, punca dan kerugian yang dialami oleh mangsa masih dalam siasatan,” katanya.

Thursday, November 1, 2012

ubat rm 500 ribu

Penyakit misteri RM500,000

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa
Kalidevi@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Terlalu percayakan kakitangannya yang konon mampu mengubati isterinya yang menderita penyakit misteri, seorang pengurus bank kerugian lebih RM500,000 termasuk wang tunai lebih RM300,000, barang kemas, sebuah kereta dan dua ekar tanah di Kampung Inas, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Mangsa berusia 51 tahun itu meminta bantuan kakitangannya itu yang berusia 30-an untuk mengubati isterinya yang mengalami kemurungan sejak Ogos lalu selepas diberitahu isteri kakitangannya itu seorang pengamal perubatan tradisional serta mengikut cara Islam.
Sumber polis berkata, selepas mangsa membawa isterinya yang berusia 40-an berjumpa isteri kakitangannya itu, dia diberitahu rawatan akan dilakukan secara ghaib, termasuk berhubung terus dengan Allah,” katanya.

Menurutnya, sejak berkenalan buat kali pertama, mangsa bagaikan dipukau dan menuruti setiap permintaan pasangan suami isteri itu.

Katanya, mereka juga memaklumkan jumlah bayaran bakal meningkat sekiranya tahap penyakit dialami isteri mangsa berada pada tahap kritikal.

Tuesday, October 30, 2012

jodoh oku

Jodoh silap dail

Oleh Adnan Mohamad
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
MERIAH...Bakri dan Siti Habsah berjalan menuju tempat persandingan di Kampung Pangkal Kala, Bunut Susu, Pasir Mas, semalam.
MERIAH...Bakri dan Siti Habsah berjalan menuju tempat persandingan di Kampung Pangkal Kala, Bunut Susu, Pasir Mas, semalam.
BAHAGIA...pasangan ketika acara persandingan di rumah pengantin perempuan.
BAHAGIA...pasangan ketika acara persandingan di rumah pengantin perempuan.
PASIR MAS: Seorang penoreh getah tidak pernah terfikir bahawa akan bertemu jodoh dalam tempoh singkat selepas dia tersilap mendail nombor telefon kira-kira tiga bulan lalu.
Tanpa melihat keadaan fizikal bakal isterinya itu, Bakri Setapa, 32, yang juga seorang lelaki normal meneruskan perkenalan mereka menerusi panggilan telefon setiap hari tanpa menyedari wanita itu adalah seorang orang kelainan upaya (OKU).
Bakri berkata, dia sedikit pun tidak rasa terkilan apabila Siti Habsah Mamat, 26, berterus terang memberitahu bahawa keadaan fizikalnya kurang sempurna.

Malah katanya, dia langsung tidak kisah mengenai kekurangan bakal isterinya itu yang mengalami kecacatan pada kedua-dua kaki.

“Sebenarnya perkenalan ini tidak disengajakan kerana saya tersilap mendail nombor telefon. Sejak itu, saya berasa selesa berkomunikasi dengannya menyebabkan hubungan semakin rapat.

Monday, October 29, 2012

isteri yg baik

Cinta sejati


E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: “Isteri begitu adalah wanita yang cintanya sejati,” kata pakar perunding keluarga dan motivasi, Dr Robiah Kulop Hamzah, mengulas tindakan seorang isteri menanggung hutang along ditinggalkan suaminya bernilai lebih RM1 juta walaupun lelaki itu berkahwin lain.
Menurut beliau, tindakan isteri terbabit didorong rasa tanggungjawab untuk menjaga anak suaminya, selain tidak mahu imej lelaki itu dipandang hina oleh anak kerana berbapakan lelaki seperti itu.

Katanya, suami wanita itu pula tidak berperikemanusiaan dan pentingkan diri kerana sanggup melepaskan bebanan hutang kepada isteri untuk mencari kebahagiaan dengan wanita lain.
“Memang bertuahlah lelaki memiliki isteri yang menawarkan diri untuk menanggung hutangnya, tetapi kesenangan suami cuma di dunia dan akhiratnya kosong kerana tidak ada pahala ibadah.

“Dia meninggalkan isteri yang berjuang dari bawah bersamanya tetapi akhirnya ditinggalkan dan mencari isteri lain, itu tindakan yang tak berperikemanusiaan dan sangat pentingkan diri,” katanya, semalam.

Rubiah berkata, tindakan isteri itu juga adalah betul kerana semua harta dan aset didaftarkan ke atas anak mereka dan dia hanya mahu melindungi anaknya daripada menjadi buruan along.
Harian Metro semalam melaporkan nasib wanita dikenali cuma dengan nama Salbiah yang sanggup berkawan dengan ceti haram kerana tidak mahu keselamatan suaminya yang berhutang lebih RM1 juta dengan along terancam.

Walaupun lelaki itu berkahwin lain, dia sanggup menanggung beban ditinggalkan suami kerana bimbangkan keselamatannya.

bisu pun hanyut akibat kecangihan teknologi

Gadis bisu terpedaya

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
KUALA LUMPUR: Hinanya seorang lelaki apabila tergamak mengambil kesempatan terhadap gadis kelainan upaya (OKU) hingga menyebabkan remaja berusia 17 tahun itu hamil enam bulan dan kini menunggu masa melahirkan kandungannya di Rumah Sinar Salam, Chow Kit, di sini.
Penyelia rumah berkenaan, Nurul Husna Hamid berkata, punca remaja itu terlanjur akibat hubungan terlarang daripada pergaulan bebas dan terpedaya dengan pujuk rayu teman lelakinya hingga disahkan hamil, awal tahun ini.

“Walaupun dia bisu, teknologi canggih (laman web dan telefon bimbit) hari ini membolehkan pasangan kekasih berhubungan antara satu sama lain hingga terlanjur.
“Kami tidak menafikan walaupun fizikalnya serba kekurangan, keinginan golongan ini sama dengan gadis normal lain,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini.

Remaja itu ditempatkan di rumah berkenaan disebabkan keluarganya enggan menerimanya semula selain malu dengan jiran dan masyarakat sekeliling.

Ditanya bagaimana arahan diberi kepada remaja OKU itu, Nurul Husna berkata, mesej berbentuk tulisan dan gerakan badan serta isyarat tangan antara kaedah komunikasi berkesan digunakan.
“Di rumah ini, kami menjaga makan minum dan membawa gadis berkenaan ke klinik untuk pemeriksaan setiap bulan bagi memastikan kandungan sihat serta tiada tekanan sepanjang kehamilan,” katanya.

Rumah Sinar Salam dinaungi Yayasan Salam Malaysia (YSM) menghulurkan bantuan dalam bentuk kepakaran dan pengurusan sejak 2007 khusus untuk gadis yang terbabit dalam kancah sosial sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing apabila pulih kelak.
Beliau berkata, di rumah itu, penghuninya diberi motivasi untuk membina semula imej yang tercalar, manakala ibu bapa diberi kesedaran supaya memberi peluang kedua kepada anak menerusi memberi bimbingan agama.

“Selain itu, menerusi perkongsian bersama sebuah agensi swasta, kami mengadakan pelbagai aktiviti seperti kelas masakan, kemahiran komputer dan kraftangan kepada penghuni supaya masa lapang mereka lebih terisi.

“Sebaik keluar dari rumah ini, ada di kalangan mereka diterima bekerja sebagai tukang cuci di hospital atau pembantu restoran.

“Sekurang-kurangnya, dengan kemahiran yang dibekalkan, mereka mampu berdikari, sekali gus boleh membina hidup baru,” katanya.