Saturday, June 4, 2011

Maut Dalam Bakul

Maut bakul kayu tercabut


KANGAR: “Semalam (kelmarin) dia membawa empat rakannya bersarapan di rumah saya. Selalunya dia tidak pernah berbuat demikian dan dia makan dengan amat berselera,” kata Rosnah Md Saman, 62, ibu tiri Zarul Zainul Abidin, 24, yang maut terjatuh dari ketinggian 20 meter ketika memotong dahan dan ranting pokok di Jalan Raja Muda, di sini, pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.15 pagi itu, mangsa bersama seorang rakannya menggunakan bakul kayu usang yang dinaikkan menggunakan sebuah kren ketika memotong dahan pokok, parah apabila mengalami pendarahan otak selain patah kaki kiri dan tulang rusuk selepas terjatuh bersama bakul itu apabila kabel utama kren berkenaan yang disambungkan dengan bakul itu tercabut.


Namun, seorang lagi rakan mangsa yang berada dalam bakul itu terselamat dan tidak cedera kerana sempat berpaut pada dahan pokok sebelum diselamatkan orang ramai.

Mangsa yang koma dan parah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, namun meninggal dunia kira-kira jam 11.30 pagi di hospital itu semalam.


Rosnah ketika ditemui berkata, Zarul yang tinggal berdekatan rumahnya di Kampung Syed Omar, dekat Bintong, di sini, kerap mengunjunginya kerana dia yang menjaga anak tirinya sejak berusia 12 tahun.


“Semalam (kelmarin) dia banyak bersembang dan ceria ketika bersarapan di rumah saya kira-kira jam 10 pagi. Saya tidak sangka itu kali terakhir saya berjumpanya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Rosnah berkata, anak tirinya yang juga anak kedua daripada enam beradik itu bekerja dengan syarikat kontraktor pembersihan berkenaan sejak setahun lalu dan dia meninggalkan isteri, Nurul Husna Abdullah, 20, serta anak perempuan, Intan Anas Natasha, 2.


Jenazahnya dikebumikan Tanah Perkuburan Islam Kampung Syed Omar, petang semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin, berkata ketika kejadian mangsa yang bekerja dengan syarikat kontraktor pembersihan diarah memotong dahan dan ranting di sepanjang jalan itu.


“Mereka menggunakan bakul yang diangkat menggunakan kren, tetapi ketika asyik membuat kerja, kabel utama kren berkenaan yang disambungkan dengan bakul itu tercabut menyebabkan bakul bersama mangsa terhempas ke atas jalan,” katanya di sini, semalam.


Beliau berkata, kejadian itu berpunca akibat kecuaian pihak kontraktor yang tidak menggunakan bakul yang sempurna dan tidak memeriksa bakul berkenaan terlebih dahulu.


Katanya, operator kren berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 59 tahun ditahan bagi membantu siasatan dan dibebaskan dengan jaminan polis.


“Siasatan awal polis juga mendapati besi penyangkut pada bakul kren yang dinaiki kedua-dua mereka itu tertanggal,” katanya.

No comments:

Post a Comment