Awas si pendera emosi isteri
Oleh Fauziah Arof
SEMUA orang pun tahu, penderaan di luar, kita nampak lukanya dan boleh sembuh, tetapi penderaan emosi, walaupun di mata kasar semuanya kelihatan seperti tiada masalah, kesannya 'makan dalam'.
Penyiksaan secara senyap yang boleh berakhir dengan sakit jiwa inilah dikatakan merupakan 'pendekatan' yang amat popular kini di kalangan suami yang 'berhati kering' ini untuk mendera isterinya.
Bukan satu dakwaan atau tuduhan kerana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sendiri mengakui banyak menerima aduan daripada kalangan wanita dan keluarga mangsa berhubung penderaan yang melibatkan gangguan emosi dan psikologi.
Oleh itu baru-baru ini, Kabinet bersetuju meminda takrifan 'keganasan rumah tangga' dalam Akta Keganasan Rumahtangga (Akta 521) dengan merangkumkan perbuatan yang boleh menyebabkan penderaan psikologi, termasuk kecederaan emosi kepada mangsa (isteri atau anak-anak) atau menyebabkan mangsa mengalami delusi.
Kata Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, sudah tiba masanya akta itu dipinda mengikut kehendak semasa memandangkan ia sekarang hanya memberikan perlindungan kepada mangsa dari aspek penderaan fizikal.
Selama ini walaupun keganasan rumah tangga berlaku dalam pelbagai bentuk, undang-undang dilihat hanya mengiktirafkan keganasan yang menyebabkan kecederaan fizikal, meletakkan si isteri atau anak dalam keadaan ketakutan, mengurung, merosakkan harta benda atau memaksa mangsa melakukan sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan.
Ada suami yang tidak pernah 'naik tangan' atau mengasari isteri tetapi begitu mahir dalam menggunakan komunikasi yang sentiasa disulami dengan maki-hamun, memperlekehkan, mengugut dan menghina yang mengakibatkan kemurungan serta kesedihan melampau bagi isteri.
Sebenarnya, penderaan emosi dan psikologi terhadap isteri ini turut merangkumi banyak tindakan lain termasuk suami menyepikan diri dalam rumah sendiri, tidak ambil kisah, bergantung kepada isteri menyara keluarga, dan suami yang suka meletakkan segala kesalahan pada isteri tanpa justifikasi yang waras.
Akibatnya, isteri yang sentiasa setia, mengabdikan diri kepada keluarganya, merasa tertekan dan terperangkap dalam dunia kemurungannya sendiri, yang akhirnya mengalami tekanan mental atau sakit jiwa.
Dalam hal ini, suami perlu mengawasi tingkah laku serta memupuk rasa hormat terhadap isteri. Kedua-dua belah pihak harus belajar menghormati antara satu sama lain dan tidak memainkan peranan dominan dan taat yang membuta tuli.
Justeru apabila akta itu dipinda kelak, talian dera bukan sahaja berfungsi untuk menerima aduan mengenai kecederaan fizikal, tetapi juga psikologi.
Dan kepada mangsa dera - anda adalah individu utama yang boleh membantu diri sendiri dan menyelamatkan diri untuk keluar daripada jenayah keganasan wanita ini. Jangan hanya berdiam dan melayan kesengsaraan itu seorang diri.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment