Adik derita tak ada punggung
NIK MOHD RAFFIQ
21 Februari 2013
Zarilah dan Abd Nasir membantu Adik duduk atas kerusi roda disumbangkan Rozi bagi memudahkan kanak-kanak ini ke tadika.
Adik ketika menerima kunjungan barisan JKKK Kubang Palas.
HULU TERENGGANU - Tatkala kanak-kanak seusianya bebas berlari meniti
hari melalui proses tumbesaran, namun berlainan dengan nasib seorang
kanak-kanak lelaki, di sini yang hanya sekadar mampu duduk sambil
mengharapkan bantuan orang untuk bergerak.
Demikian kehidupan dilalui Muhammad Irshad Darwisy Abd Nasir, 4, akibat
lemas dalam kandungan sewaktu ibunya, Zarilah Muda, 38, ingin bersalin
pada 31 Julai 2009 lalu.
Sepanjang hidupnya kaki kanak-kanak comel ini dijangka tidak dapat melangkah untuk berjalan.
Zarilah berkata, anaknya yang lebih mesra dipanggil Adik itu dipercayai
lemas selama 11 jam setelah air ketubannya pecah sebelum dilahirkan
melalui pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam keadaan
seluruh tubuh badan bayinya itu kebiruan.
“Air ketuban ketika itu juga sudah kering. Malah, saya sendiri menyuruh
pihak hospital melakukan pembedahan untuk selamatkan bayi kerana sudah
tidak mempunyai tenaga untuk bersalin.
“Keadaan Adik yang tidak stabil menyebabkan dia berada di hospital
hampir seminggu. Mulanya, saya dan suami, Abd Nasir Musa, 41, melihat
Adik membesar sebagaimana bayi lain apatah lagi dilahirkan dalam keadaan
yang cukup sifat dengan berat 3.25 kilogram (kg)," katanya.
Menurutnya, namun, sekitar usianya tiga bulan didapati kedua-kedua kaki
Adik seperti tidak dapat diluruskan atau berpijak ketika dimandikan.
"Melihat kelainan ini, saya dan suami terus membawanya berjumpa doktor.
"Runtun jiwa apabila dimaklumkan, anak saya ini bukan sahaja dijangka
tidak dapat berjalan seumur hidup akibat komplikasi lemas sewaktu
bersalin, tetapi juga berkemungkinan tidak dapat bercakap”, katanya.
Syukur...Adik boleh bercakap
Selingkar kisah kehidupan kanak-kanak comel yang sudah belajar di
Tadika Kemas Kubang Palas ini dikongsi Zarilah kepada Sinar Harian
ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam dan turut dihadiri wakil
barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kubang Palas.
Tambah Zarilah, hanya ALLAH SWT yang mengetahui kegembiraan dirasakan
apabila anaknya itu mengeluarkan suara ketika berusia hampir setahun dan
mampu menyebut beberapa perkataan termasuk Ma serta Abah, malah kini
Adik begitu petah berkata-kata.
“Walaupun usianya baru empat tahun, namun dia begitu rancak bercakap
sama ada dengan orang dikenalinya ataupun tidak. Cuma dia agak takut
apabila orang lain mendukungnya seolah-olah bimbang sekiranya dia akan
terjatuh.
“Adik tidak mengalami masalah kesihatan cuma dia tidak mampu berjalan,
selain kedua-dua tangannya lebih banyak dalam keadaan menggenggam.
Selain itu, kakinya juga jelas kelihatan kecil berbanding tumbesaran
badannya. Beratnya kini 7.5kg.
“Adik juga perlu memakai lampin pakai buang setiap masa sebagai
sokongan bagi membolehkannya duduk, kerana dia juga tiada punggung. Dia
juga tidak mampu mengesot,” ujarnya.
Ulang alik HSNZ naik teksi
Tambah Zarilah, dia dan suami perlu berulang-alik ke HSNZ beberapa kali
sebulan menaiki teksi bagi mendapatkan rawatan susulan dengan kadar
bayaran RM50 dan dengan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan
Masyarakat sebanyak RM200, ia sedikit-sebanyak ringankan beban.
“Kalau diikutkan jumlah itu tidak mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya
ia membantu ringankan suami yang hanya lakukan kerja-kerja kampung.
Sepatutnya, Adik perlukan susu khas berharga RM119 satu tin tetapi
sehingga kini, hanya sekali sahaja kami mampu belikan untuknya.
“Saya juga pernah membawanya mendapatkan rawatan tradisional
menggunakan kaedah urutan. Mungkin kerana terlalu sakit, Adik sendiri
yang memberitahu tidak mahu lagi berbuat demikian.
“Hati saya tersentuh apabila Adik menyuarakan keinginannya untuk
berlari dan bermain bola, sedangkan dia tidak mampu berbuat demikian.
Saya sekadar memujuknya dengan memberitahu dia harus banyak bersenam dan
lakukan terapi terlebih dahulu,” katanya.
Jauh disudut hati menaruh harapan agak Adik dapat berjalan jua suatu hari nanti.
Senyuman di wajah Muhammad Irshad Darwisy terus terukir apabila dia
menerima sebuah kerusi roda sumbangan Adun Telemong, Rozi Mamat, Khamis
lalu sekali gus mencapai keinginannya untuk bersama kanak-kanak
seusianya belajar mengenal huruf dan angka di tadika.
Menurut Abu Nasir, Adik sememangnya ingin bersekolah tetapi kerana keadaan diri menyebabkan hasratnya tidak dapat ditunaikan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga membolehkan
anak saya ini ke tadika. Hari pertama ke sekolah, dia kelihatan gembira
dan sentiasa tersenyum walaupun perlu belajar dari atas kerusi roda
ini,” ujarnya.