Monday, August 8, 2011

mati kena asap


Mati bakar sampah
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
SEDIH...Radiah reda kematian suami. Gambar kecil, Mat Yaakob.
SEDIH...Radiah reda kematian suami. Gambar kecil, Mat Yaakob.

JITRA: Seorang warga emas rentung separuh badan selepas terbakar sebaik tiba-tiba rebah dipercayai terhidu asap tebal ketika membakar sampah di rumahnya di Kampung Batas, Napoh, di sini tengah hari kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Mat Yaakob, 64, sedang membakar sampah seorang diri walaupun ditegah isterinya, Radiah Abdul Hamid, 55, kerana ketika itu cuaca panas.


Difahamkan, api sampah yang dibakar itu marak dengan tinggi menyebabkan mangsa yang tidak sedarkan diri rentung dari bahagian pinggang hingga ke kaki ketika ditemui adik iparnya.

Radiah yang menghidap penyakit angin ahmar berkata, sebelum kejadian dia sudah melarang arwah membakar sampah kerana waktu itu cuaca panas terik, tetapi dia degil dan terus membakar sampah sebelum api merebak membakar rumput kering di kawasan sekitar.


Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian berkemungkinan akibat terhidu asap tebal sebelum rebah dan dibakar api yang sedang marak sebelum ditemui adik iparnya (Kalsom, 50) yang mencari abang iparnya itu, jam 2 petang.


Menurut Radiah, dia berasa tidak sedap hati apabila suaminya tidak kelihatan selepas api sampah itu menjulang tinggi dan menghubungi adiknya yang berjiran supaya mencari arwah.

Beliau berkata, dia yang tidak sihat hanya mampu menghubungi Kalsom meminta bantuan mencari suaminya dan mungkin mampu menyelamatkan arwah jika mampu bergerak.


“Kalsom dan suaminya, Khamis Mat Taib, 59, kemudian berlari dan memberitahu mak cik bahawa suami sudah meninggal dunia dalam keadaan tangannya mengerekot serta badannya sudah tidak bergerak.

“Mak cik tak tahu nak cakap apa ketika itu dan cuma mampu menangis serta meraung sekuat hati kerana kejadian berlaku terlalu pantas, namun reda dengan apa yang berlaku,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini.


Radiah berkata, arwah suaminya menunjukkan perubahan sikap malam kelmarin apabila makan terlalu banyak ketika berbuka seolah-olah buat kali terakhir.


Katanya, dia turut menegur suaminya supaya makan dengan perlahan dan jangan banyak makan kuih manis kerana dia menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma.


“Mak cik terkilan hasrat arwah berbuka puasa dengan keluarga anak sulung, Mahathir Mat di rumah mereka di Kuala Muda, Sungai Petani tidak tercapai,” katanya.


Pasangan itu yang memiliki tujuh anak berusia antara 13 dan 40-an tinggal bersama dengan anak bongsu mereka.


Jenazah mangsa dibawa ke Bilik Mayat Hospital Jitra untuk pemeriksaan sebelum dituntut keluarganya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Bendang Perang selepas solat Tarawih.

Sunday, August 7, 2011

anak oh anak


Disisih anak
Oleh MARY VICTORIA DASS dan MAHAIZURA ABD MALIK
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
GEMBIRA... Robiah bersama Brian Tan selepas menerima sumbangan daripada Scenic Route Sdn Bhd.
GEMBIRA... Robiah bersama Brian Tan selepas menerima sumbangan daripada Scenic Route Sdn Bhd.

JOHOR BAHRU: “Makcik tetap menanti kepulangan mereka setiap kali menjelang Aidilfitri biar pun Ina sanggup menipu kononnya mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia sebenarnya berhijrah ke sana semata-mata mahu melepaskan tanggung jawab menjaga mak cik,” kata warga emas, Robiah Razali, 66, di sini, semalam.

Menceritakan kisah malang hidupnya, Robiah berkata, dia hidup sebatang kara di perumahan Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) Taman Desa Bukit Mutiara, Tebrau, selain menagih kasih dan ihsan jiran selepas kedua-dua anaknya tidak lagi mempedulikannya.


Robiah berkata, anak sulungnya, Salim Ahmad, 40, melepaskan tanggung jawab untuk menyaranya dengan alasan tiada pekerjaan tetap di Kuala Lumpur manakala anak bongsunya, Ina, 36, gagal menghubunginya sejak lima tahun lalu apabila berhijrah ke New Zealand.

Menurut Robiah, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menguruskan hidupnya bersendirian biar pun dimamah usia selain menghidap kencing manis.


“Mak cik bukan mahu mengaibkan anak tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban di hati jika dapat berkongsi nasib malang ini.


“Mak cik kehilangan suami, Ahmad Budin, pada 1978 ketika berusia 33, sejak itu mak cik tidak pernah terlintas untuk berkahwin semula demi anak, mak cik membesarkan serta menyekolahkan anak dengan bekerja sebagai tukang masak di restoran selain wang pencen suami,” katanya.

Menurut Robiah, masalah timbul selepas kedua-dua anaknya berumah tangga dan kehadiran warga emas berkenaan dalam keluarga mereka dianggap sebagai beban.


Robiah berkata, kini dia terputus hubungan dengan Salim mahu pun Ina yang tidak lagi menziarahinya, termasuk pada Aidilfitri.

“Ina turut tergamak menipu mak cik dengan memberi alasan mahu bercuti ke New Zealand, sedangkan dia merancang meninggalkan mak cik dan kini hidup mewah di sana.


“Keadaan itu mengakibatkan mak cik terpaksa bergantung sepenuhnya kepada wang pencen bulanan arwah suami berjumlah RM350 yang perlu diagihkan untuk membayar sewa rumah,” katanya.


Menurut Robiah, setiap kali bersahur, dia hanya meminum susu kerana bimbang kehabisan barangan dapur, namun bersyukur mempunyai jiran berhati mulia yang sanggup berkongsi makanan ketika berbuka puasa.


Katanya, jiran juga pernah menyumbangkan bantuan ketika dia terputus bekalan makanan selain membelikan basikal elektrik bagi memudahkan pergerakannya untuk ke surau.


“Biarpun terguris dengan perbuatan anak, mak cik tidak pernah lupa mendoakan kebahagiaan mereka.


“Ibu mana yang tidak mengingati anak, mak cik harap dapat bertemu kembali dengan mereka dan cucu pada Aidilfitri ini dan seperti biasa, mak cik akan memasak juadah kegemaran mereka,” katanya.


Robiah antara 100 penerima yang ditemui pada Penyampaian Bantuan Ibu Tunggal di PPRT Bukit Mutiara sumbangan ahli perniagaan, Baazlan Ibrahim selain Scenic Route Sdn Bhd yang diwakili pengarah eksekutifnya, Brian Tan Chong Beng.


Scenic Route Sdn Bhd menaja sumbangan berbentuk barangan keperluan asas berjumlah RM4,000 dan menurut Brian, program julung kali syarikatnya itu bertujuan meringankan beban golongan memerlukan.

pilih duda


Noraniza pilih duda
Oleh NOR AKMAR SAMUDIN
akmar@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
BAHAGIA... bakal berkahwin buat kali ketiga.
BAHAGIA... bakal berkahwin buat kali ketiga.

“MEMANG tak sangka langsung pada usia 43 tahun saya kembali menjadi tunangan orang. Ingatkan dah tua-tua ini, dah tak laku. Rupa-rupanya ada juga yang berkenankan saya,” kata penyanyi etnik kreatif, Noraniza Idris, 43.

Luahan penyanyi yang lebih mesra disapa Ani itu membawa seribu erti, apatah lagi pada Ramadan ini apabila cintanya bersemi buat kali ketiga dengan duda anak empat, Jeffri Hudi, 52, iaitu ustaz dari Singapura yang berkhidmat sebagai bilal bebas di negaranya.


Bagaimanapun, menurut Noraniza, ketika Jeffri melamarnya, dia diberi tempoh untuk berfikir tetapi tidak melakukannya secara serius kerana dalam hati masih ada keraguan.

“Saya berfikiran negatif ketika itu dan takut untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sekali lagi,” katanya.


Seminggu sebelum berakhirnya tempoh itu, baru Noraniza membuat keputusan dan menyedari dia tidak buat sebarang persiapan untuk bertunang.


“Mujur mereka di Akademi Tatih Seni (cawangan Johor) yang memahami keadaan saya, membuat persiapan mencarikan penaja pelamin dan baju untuk saya.

“Selepas bertunang, kami berdua sibuk dan tidak sempat mencari tarikh sesuai untuk mengadakan majlis pernikahan hinggalah keluarga mendesak kami segerakan perkara baik itu.


“Selasa ini saya akan mengadakan sidang akhbar mengumumkan tarikh pernikahan dan kenduri. Insya-Allah perkahwinan itu akan dilangsungkan tahun ini juga,” katanya yang mendapat restu anaknya.

Noraniza berharap perkahwinannya kali ini berkekalan hingga ke akhir hayat.


“Di mana saya akan menetap selepas berkahwin, sama ada di Singapura atau di sini, tengoklah keadaan nanti,” katanya yang dihubungi Metro Ahad.


Berbual dengannya di telefon, suara Noraniza kedengaran ceria dan perbualan itu juga diselang-seli dengan ketawa, bagaikan tanda bahagia di hati.


Menceritakan detik pertemuan dengan bakal suaminya, jelas Noraniza, mereka bertemu pada Ramadan tahun lalu ketika melakukan kerja kebajikan di sebuah masjid di Johor Bahru.


Noraniza bersama anak didiknya di Akademi Tatih Seni untuk menghulurkan sumbangan hasil jualan biskut raya.


Ketika itu, dia berkata, Jeffri turut melawat masjid berkenaan bersama teman.


“Apabila saya melihat ada orang lain turut berada di masjid itu, saya pun bertegur sapa. Saya banyak berbual dengan kawannya dan Jeffri hanya mendengar. Ketika saya mahu balik, baru saya berkenalan dengan Jeffri dan memberi kad bisnes kepadanya.


“Selepas tahu dia orang Singapura, saya pun beritahu, adik saya berniaga di bazar Ramadan di negara itu,” katanya yang kemudian bertanya bolehkah adiknya menghulurkan sebarang sumbangan menerusi Jeffri.


“Itulah bermulanya bicara saya dengan dia. Rupa-rupanya dia kenal saya kerana sering menonton persembahan saya di televisyen dengan ibunya. Waktu itu saya masih menjadi isteri Fareez. Dia juga suka dengar lagu saya.


“Selepas pertemuan di masjid itu, dia hubungi saya dan lama kelamaan kami jadi rapat. Saya sangat menyanjungi peribadi Jeffri, walaupun dia orang beragama tetapi dia tidak memandang rendah artis macam saya. Dia boleh ‘masuk’ dalam dunia saya. Sesetengah orang, apabila jumpa artis pasti pandang sinis dan meletakkan jurang.


“Jeffri sangat pemalu tetapi saya selesa berkawan dengannya kerana pertuturannya lemah lembut dan tidak pernah marah. Jika dia hendak ‘tegur’, caranya sangat berhemah,” katanya.


Noraniza seterusnya mengatakan selepas bercerai kali kedua, dia tidak pernah terfikir untuk berkahwin lagi dan membiarkan Allah SWT menentukan segala-galanya.


Bagi artis itu, bukan dia tidak mahu berkahwin lagi tetapi biarlah jodoh itu datang sendiri.


“Hendak kata tak mahu pun (kahwin), kalau dah sampai masanya, saya terima saja ketentuan Ilahi. Selepas beberapa bulan berkawan, dia bawa saya berjumpa keluarganya di Singapura dan kemudian keluarganya datang berjumpa keluarga abang sulung saya di Masai, Johor.


“Kebetulan kisah hidup kami banyak persamaan. Justeru, kami menerima diri masing-masing seadanya kerana apa yang pernah terjadi, biar ia menjadi kenangan. Namun, kami bukan bercinta seperti orang muda. Hubungan kami atas rasa tanggungjawab, apatah lagi masing-masing ada anak.


“Sebenarnya selepas dua kali bercerai, saya fobia untuk berkahwin lagi. Kalau dulu memang perkahwinan menjadi keutamaan dalam hidup saya tetapi selepas bersendirian, saya tumpukan kepada kerjaya seni dan bisnes.


“Apabila ada orang mengambil berat pasal saya dengan sering menghubungi saya setiap hari walaupun berjauhan, membuatkan saya rasa dekat dengannya.


“Saya sudah mula rasa ada kawan mengisi kekosongan. Keadaan itu membuatkan saya rasa teringin berkahwin semula. Perasaan untuk mempunyai teman hidup itu wujud secara semula jadi,” katanya.


Lalu atas persetujuan keluarga, Noraniza dan Jeffri bertunang pada 22 April lalu.


Noraniza berkata biarpun dia sudah berkahwin dua kali, bakal ibu mentuanya sangat mementingkan adat lama.


“Ibunya tetap mahu hantar rombongan merisik. Selepas itu baru diadakan majlis pertunangan. Ingatkan selepas bertunang kali pertama pada usia 18 tahun, saya tidak akan bertunang lagi,” katanya.
Kongsi artikel ini menerusi media sosial

diserang

Wanita parah ditetak dua lelaki

Oleh ANGELINA SINYANG
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Entah apa puncanya, dua lelaki bertindak menyerang dan menetak seorang pekerja kilang wanita di kediamannya di sebuah flat di Taman Taming Jaya, Balakong, Kajang dekat sini, semalam.

Mangsa yang cedera berlumuran darah dan tidak sedarkan diri bagaimanapun bernasib baik apabila ditemui oleh jiran yang kemudian segera menghantarnya ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abd. Rashid Ab. Wahab berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8 pagi itu, jiran yang terdengar bunyi bising pergi melihat apa yang berlaku dan terkejut apabila menemui mangsa berlumuran darah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Beliau berkata, mangsa segera dikejarkan ke Hospital Serdang dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi kerana cedera parah.

"Polis yang menyiasat kes tersebut dimaklumkan mangsa diserang menggunakan senjata tajam oleh dua lelaki semasa bersendirian di rumah.

"Mangsa berusia lingkungan 30-an merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang bekerja di kilang berhampiran kawasan kediamannya," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, wanita terbabit diserang semasa baru tiba di rumah selepas selesai bertugas syif malam dan penyerang mungkin dikenali oleh mangsa.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah akibat ditetak di leher dan sehingga kini masih tidak sedarkan diri.

Tambahnya, motif mangsa diserang belum diketahui dan polis akan menyiasat dari semua sudut termasuk mempunyai kaitan dengan hutang atau cemburu.

"Mangsa tidak disamun kerana tiada barang-barang berharga miliknya dilarikan dan polis sedang berusaha mengesan rakan serumahnya juga dipercayai PATI yang menghilangkan diri selepas kejadian bagi membantu siasatan," katanya.

Ab. Rashid meminta orang ramai atau rakan serumah mangsa supaya tampil membantu polis dalam siasatan kes tersebut dan sesiapa mempunyai maklumat diminta menghubungi Balai Polis Komuniti Taming Jaya di talian 03-89622222.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, August 5, 2011

dirogol biras

Biras buat onar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAJANG: Hanya alasan mahu berbincang, seorang kakitangan sebuah syarikat swasta berusia 19 tahun menempuh detik hitam dalam hidupnya apabila dirogol birasnya di sebuah hotel di Bangi, Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, suspek berusia 29 tahun pada mulanya menghubungi mangsa kononnya untuk bertemu bagi menyelesaikan masalah perhubungan mereka.


Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab, berkata mangsa yang tidak mengesyaki niat serong suspek bersetuju untuk bertemu.

“Suspek yang datang mengambil mangsa di rumah membawanya menaiki kereta sebelum singgah di sebuah hotel di Bangi kononnya untuk berbincang.


“Tiba di hotel, mangsa dibawa masuk ke dalam sebuah bilik,” katanya.


Beliau berkata, di dalam bilik, suspek menarik mangsa ke atas katil dan cuba membuka baju mangsa.

Katanya, mangsa yang ketakutan cuba melarikan diri, tetapi dihalang suspek.


“Suspek yang berang dengan tindakan mangsa menarik mangsa ke atas katil sebelum merogolnya,” katanya.

Beliau berkata, sebaik dirogol, suspek menghantar semula mangsa ke rumah dan berjanji akan bertanggungjawab atas kejadian itu.


“Menyedari suspek melarikan diri dan enggan bertanggungjawab selain hanya menjadikan dirinya sebagai pemuas nafsu, mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Kajang,” katanya.

tak sempat makan ikan bakar



Sempat pesan ikan bakar sebelum ditemui mati

Kawasan tempat tinggal Rohani Kassim yang ditemui mati di pangsapurinya dipercayai dibunuh di Ipoh, semalam.

IPOH 4 Ogos - Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri, Dr. Rohani Kasim, sempat memesan ikan bakar sebagai juadah berbuka puasa semalam, sebelum ditemui mati dipercayai dibunuh di pangsapuri miliknya, awal pagi tadi.

Seorang bekas rakan sekerjanya, Roslizan Nikmat, 45, berkata, Rohani, 38, memesan kepadanya agar membelikan juadah tersebut untuk berbuka puasa semalam.

Menurut Roslizan, kali terakhir dia menerima panggilan daripada mangsa adalah pukul 4.15 petang sebelum gagal menghubunginya sekitar pukul 7.30 petang ke 8.30 malam.

"Saya ke rumahnya dalam pukul 7.15 petang untuk menghantar juadah itu tetapi apabila pintu diketuk, tidak berjawab. Saya kemudian menyangkutkan makanan itu di pintu di luar rumah mangsa.

"Tetapi, saya tidak sedap hati apabila melihat tingkap di luar dalam keadaan terbuka. Saya ada bertanyakan dua lelaki yang lalu di situ dan mereka kata mungkin dia (Rohani) keluar," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, kakak mangsa, Ruzaina Kasim, 41, berkata, kali terakhir Rohani pulang ke kampung iaitu di Kampung Parit Haji Ali, Bagan Serai, ketika menyambut hari pertama berpuasa iaitu Isnin lalu.

Menurut Ruzaina, ketika itu, anak ketujuh daripada 10 beradik itu ada menceritakan bahawa rumahnya dipecah masuk kira-kira dua minggu lalu dan mengakibatkan kerugian sebanyak RM15,000.

"Dia (Rohani) memang tinggal seorang, kami memang hendak menjenguknya tetapi tidak sempat lagi kerana dia kata mempunyai banyak kerja dan jarang bersembang mengenai hal peribadi.

"Dia ada mengatakan sibuk menguruskan kes bantahan kumpulan penternak daging segar di Taiping berikutan notis Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri yang menguat kuasa larangan penyembelihan lembu bunting dan masih produktif," katanya.

Ibunya, Sharifah Razali, 72, pula berkata, Rohani tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga kembali ke Ipoh pada Isnin lepas selepas sahur bersama.

Menurut Sharifah, dia yang diberitahu mengenai kematian anaknya pagi ini, bergegas ke Ipoh untuk menuntut jenazah Rohani tanpa ditemani suaminya, Kasim Idris, 76, yang mengalami sakit usus.


Empat suspek direman

Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
utusanperak@utusan.com.my


EMPAT suspek kes bunuh Dr. Rohani Kassim dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh, semalam untuk mendapatkan perintah tahanan reman.

IPOH 5 Ogos - Polis percaya dapat menyelesaikan kes pembunuhan Timbalan Pengarah (Kesihatan) Jabatan Veterinar Perak, Dr. Rohani Kasim yang dipercayai bermotifkan samun ekoran penahanan empat suspek iaitu seorang posmen, dua penganggur dan tentera yang melarikan diri daripada tugas.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof berkata, suspek berusia antara 20 hingga 26 tahun diberkas dalam tiga tangkapan berasingan kurang 24 jam selepas mayat mangsa ditemui.

Menurut beliau, polis merampas barang kemas dan telefon bimbit dipercayai milik mangsa selepas tertangkapnya dua suspek pertama tidak jauh dari tempat kejadian di Pangsapuri Permai Lake View, Tambun pada pukul 4 pagi semalam.

"Dua lagi suspek masing-masing ditahan di Tanjung Malim dan Slim River. Salah seorang daripadanya mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes rogol di Slim River pada tahun ini.

"Seorang lagi dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk rumah mangsa pada 14 Julai lalu. Laporan bedah siasat belum diterima dan setakat ini belum dapat dipastikan punca kematian mangsa serta sama ada berlaku serangan seksual," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, mayat Rohani ditemui seorang pengawal keselamatan di pangsapuri berkenaan selepas terserempak dengan seorang lelaki Melayu sedang memikul satu bungkusan menuruni tangga dari tingkat satu kira-kira pukul 3.30 pagi.

Hasil pemeriksaan pengawal keselamatan itu mendapati bungkusan yang dicampakkan oleh suspek selepas terkejut melihatnya itu adalah sehelai gebar yang membalut mayat seorang wanita dengan kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, beberapa sampel forensik dan ujian air kencing telah diambil ke atas suspek namun keputusannya masih belum diperoleh.

Selain itu, katanya, keempat-empat suspek yang merupakan teman serumah dan tinggal berdekatan pangsapuri mangsa direman antara empat hingga tujuh hari bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Wednesday, August 3, 2011

syed kecik

Liku-liku hidup punca tuntut harta

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Isteri ahli perniagaan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary menjelaskan bahawa kehidupan melayari bahtera rumah tangga selama 44 tahun bersama suaminya itu adalah alasan beliau mengemukakan tuntutan harta sepencarian yang berjumlah hampir RM4 juta.

Ujar Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, 68, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, pelbagai perit-getir kehidupan telah dihadapi beliau sebagai isteri Allahyarham Syed Kechik, lebih-lebih lagi ketika suaminya menghidap pelbagai jenis penyakit sejak tahun 1990-an.

Jelas wanita itu, lebih merumitkan, ketika Syed Kechik diserang penyakit angin ahmar di bahagian kiri badannya, namun beliau bersyukur apabila suaminya kembali sembuh daripada penyakit tersebut dalam tempoh enam bulan.

Katanya lagi, Syed Kechik kembali pulih dalam tempoh yang singkat disebabkan oleh senaman harian yang dilakukannya sendiri tanpa mengupah pakar khas walaupun beliau mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian.

"Memanglah mampu dari segi kewangan, tetapi saya ingin melihat pertolongan tersebut hasil daripada tangan seorang isteri.

"Kawan-kawan Syed Kechik terkejut bagaimana Allahyarham boleh pulih daripada penyakit angin ahmar dengan cepat walaupun pada mulanya beliau tidak boleh bercakap dan bergerak,'' jelas Sofiah ketika pemeriksaan utama oleh peguam syarie yang mewakilinya, Sulaiman Abdullah.

Beliau kemudian mengesahkan bahawa 12 aset yang terdiri daripada lapan bidang tanah, dua akaun kewangan dan tiga akaun saham merupakan milik suaminya ketika beliau telah bergelar isteri kepada Syed Kechik.

Sofiah selaku plaintif memberi keterangan pada perbicaraan permohonannya untuk mendapatkan perintah agar harta pusaka peninggalan Syed Kechik yang bernilai hampir RM4 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian.

Dalam tuntutan yang difailkan pada 26 Julai lalu, Sofiah menyatakan, beliau berhak mendapat separuh daripada kesemua harta tersebut atau sekiranya ia dijual, nilainya diserahkan kepadanya sebagai harta sepencarian.

Sofiah menamakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham, Syed Gamal, 45, serta dua anak perempuan kandungnya Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada prosiding hari ini, Syed Gamal diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala kedua-dua adik perempuan tirinya diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin.

Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Abdullah bersambung pada 26 September ini.