Friday, October 25, 2013

pegawai bank ditembak



  • 'Abang masih sayang saya?' Jenazah dimasukkan ke dalam van Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia selepas bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Serdang, semalam.
1 / 1
SERDANG - Panggilan singkat Norazita yang beria-ia benar hendak tahu sejauh mana kasih suaminya, rupanya petanda ajal wanita itu hendak pergi buat selama-lamanya.

Suaminya, Irwan Kamarudin, 37, sama sekali tidak menyangka itulah panggilan terakhir dan paling singkat daripada isteri tersayang.

“Abang masih sayang saya?” Begitu pertanyaan Norazita dan berkali-kali dia mengulang soalan itu menerusi panggilan telefon kepada suaminya sekitar jam 5 petang, kira-kira sejam sebelum dia ditembak mati oleh perompak.

"Kemudian saya jawab, 'abang sayang awak seperti kita mula berkahwin dulu. Tidak pernah berubah kasih sayang abang pada awak," ucap Irwan dalam nada suara menahan sebak.

Dalam kejadian sekitar 6.20 petang kelmarin, isterinya, Norazita Abu Talib, 37, mati tragis ditembak perompak dalam kejadian rompakan di bank tempatnya bekerja.

"Tetapi saya tidak boleh bercakap lama dengan isteri saya, kerana waktu itu saya sedang bekerja," luah Irwan yang bekerja sebagai pemandu peribadi di sebuah syarikat di Bukit Jelutong.

Sambungnya, sekitar 6.20 petang, dia beberapa kali menghubungi Norazita  untuk bertanya sama ada isterinya itu sudah pulang ke rumah ataupun belum tetapi panggilan  tidak berjawab namun pada ketika itu dia tidak mengesyaki sebarang perkara buruk sehinggalah seorang pengurus bank menjawab panggilan itu dan memintanya segera datang ke bank tersebut.

"Saya tanya dia apa yang berlaku tapi dia tidak jawab soalan saya, cuma suruh saya datang ke sana. Beberapa minit kemudian, seorang kawan beritahu saya yang dia mendengar ada rompakan di bank isteri saya bekerja, menerusi laman sosial Facebook.

"Ya ALLAH, ketika itulah hati saya mula terdetik memikirkan sesuatu dan menjadi tidak tenteram," katanya.

Sehinggalah pada waktu dia sampai, dia begitu terkejut setelah melihat ramai polis di tempat kejadian dan polis tidak membenarkannya masuk ke dalam bank itu.

Jantungnya berdebar dan katanya, dia bertanyakan keadaan isterinya tetapi polis mengatakan isterinya berada dalam keadaan baik.

“Pada awalnya, seorang anggota polis memberitahu, isteri saya baik saja, tetapi kira-kira 9 malam, salah seorang anggota polis beritahu  yang isteri saya sudah tiada lagi (mati ditembak).

"Pada saat mendengar berita itu, hati saya bagaikan hancur. Sedih dan pilu berpadu," luah Irwan dan ini bermakna panggilan singkat sejam sebelum kejadian itulah kali terakhir dia mendengar suara Norazita.

Irwan  benar-benar tidak menyangka  nasib malang menimpa Norazita sedemikian rupa kerana isterinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan tingkah laku sebelum ajal, dan kesedihan apalagi yang boleh diceritakan saat mendengar khabar, isterinya telah mati ditembak.

Menceritakan kisah isterinya itu, Irwan berkata, Norazita memang seorang yang agak pendiam, namun sangat baik hati dengan orang lain dan tidak menyangka Norazita terkorban secara kejam di tangan perompak.

Menurutnya, dia sudah 13 tahun mendirikan rumah tangga bersama arwah dan dikurniakan dua cahaya mata bernama Nurnisa Nabilah, 12, dan Muhd Hazimy, 8.

“Arwah akan dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Air Itam Labu, Kampar pada hari ini (semalam),” katanya di Jabatan Forensik, Hospital Serdang, semalam.
Sementara itu, berkongsi sedih dengan ayahnya, anak sulung arwah, Nurnisa Nabilah berkata dia telah kehilangan ibu yang selama ini menjadi tempat bermanja.

“Walaupun ibu seorang yang garang, tapi dia sangat sayangkan saya dan Hazimy.

"Sekarang mak dah tak ada,” kata kanak-kanak itu dalam nada sayu. 

Dalam kejadian kelmarin, Norazita yang bekerja sebagai pegawai bank di Ambank USJ, ditembak mati oleh perompak yang juga pengawal keselamatan di bank yang sama.

Seisi rakyat Malaysia turut  merasai kekejaman  yang berlaku terhadap wanita itu apabila perompak berkenaan tergamak menembaknya tanpa sebab sedangkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan Norazita langsung tidak melawan.

Lebih mengerikan kerana insiden tembak itu dimuat naik menerusi laman sosial Facebook  yang memaparkan Norazita ditembak pada muka hingga menyebabkan separuh dan otaknya hancur.

Dalam pada itu, perompak kejam tersebut berjaya lari dengan membawa wang rompakan itu dan kini polis sedang memburu pembunuh Norazita. Al Fatihah.
Artikel Berkaitan

Sunday, October 6, 2013

tinggalkan anak

Enam beradik ditinggal kelaparan
  • Enam beradik ditinggal kelaparan Kanak-kanak malang yang ditinggalkan ibu bapa mereka lebih 24 jam.
1 / 2
KUALA SELANGOR - Hanya disebabkan tidak puas hati, sepasang suami isteri sanggup meninggalkan enam anak mereka yang masih kecil bersendirian di sebuah rumah di Jalan Bukit Panjang, Jeram, kira-kira jam 1 pagi semalam dan hilang tanpa khabar berita.
Lebih menyedihkan, keenam-enam beradik itu terpaksa makan apa sahaja termasuk cebisan roti terbuang demi mengisi perut, manakala adik bongsu mereka berusia tujuh bulan hampir 'nyawa-nyawa ikan' akibat kelaparan.

Salah seorang penduduk di situ, Samsuri Sulaiman, 57, berkata, pada mulanya dia ternampak lima beradik berkenaan berjalan kaki sambil memikul beg baju tanpa arah tujuan di kawasan perumahan di situ.
"Apabila saya tanya, abang sulung yang berusia sembilan tahun memberitahu mahu balik ke Kelantan kerana 'emak dah mati'.
“Saya pelik melihat kelakuan mereka dan meminta ketua taman memeriksa keadaan rumah yang dihuni sejak setahun lalu, kalau-kalau kedua ibu bapa mereka ada di rumah.
“Namun, alangkah terkejutnya apabila saya sendiri ke rumah mereka, yang ada cuma bayi berusia tujuh bulan ditinggalkan tertidur kerana terlalu lama menangis akibat kelaparan di sebuah kerusi kayu.
"Bayi itu adalah adik bongsu kepada kanak-kanak malang ini," katanya.

Menurut Samsuri, kawasan perumahan itu memang terletak jauh dari jalan besar dan jika mereka dibiarkan merayap, kemungkinan besar boleh hilang.

Terkenal sikap suka 'perang besar'

Dalam pada itu, seorang wakil penduduk, Daud Jaumar, 41, berkata, tidak mustahil bayi berusia tujuh bulan itu menghembuskan nafas terakhir jika tidak dijenguk oleh mereka.

“Saya cuba gerakkan badannya bila lihat terbaring begitu sahaja dan nasib baik matanya buka sedikit dan bergerak. Keadaan itu cukup melegakan hati.

“Saya terus menghubungi penghulu mukim kerana tidak tahu nak buat macam mana lagi. Ibu dan bapa budak itu tidak dapat dikesan," katanya.

Menurut Daud, ibu bapa kepada enam beradik itu memang terkenal dengan sikap mereka yang suka 'berperang' besar.

"Penduduk di sini pun selalu mengadu tentang perangai buruk mereka itu. Pernah juga mereka bergaduh besar sampai nak berparang, mujurlah kami sempat  campur tangan," katanya.

Bagaimana pun katanya, dia tidak sangka kedua-dua suami isteri itu mementingkan diri sendiri dan sanggup meninggalkan anak-anak kecil lebih sehari tanpa memikirkan makan minum mereka.

“Sebelum ini ada juga mereka 'hilang', tapi sekejap-sekejap dan jiran rumah selalu bagi anak-anak ini makan.

"Tapi kalau dah hilang lebih sehari sampai anak-anak hampir melarikan diri, saya rasa ini dah melampau. Apa nasib anak-anak ini nanti?" katanya.

Anak-anak tak banyak karenah

Seorang  jiran mereka, Jamilah Yusof, 53, memberitahu Sinar Harian, dia juga sering melihat-lihat keadaan enam beradik itu setiap kali ditinggalkan ibu bapa mereka selepas bergaduh besar.
“Saya sendiri yang menyambut kelahiran anak bongsu mereka di rumah itu. Memang kasihan, anak-anak itu pula tak banyak karenah apabila ditinggalkan seolah-olah faham masalah keluarga mereka.

"Tapi sangat menyedihkan apabila mereka tidak diberi makan dan minum lebih 24 jam.

“Ada ramai orang yang begitu mahukan anak tapi tak bernasib baik, mereka yang dikurniakan ramai 'amanah' ALLAH ini sanggup biarkan mereka begitu saja. Sampainya hati," katanya sebak.

Sementara itu, Penghulu Mukim Jeram, Kamarudin Abd Rahman berkata, pihaknya sudah memaklumkan perkara itu kepada agensi yang bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.
“Keluarga ini saya kenal sejak rumah sewa mereka terbakar beberapa tahun lalu dan mereka sanggup tidur anak beranak di tepi pantai. Bila dapat tahu, saya tempatkan mereka di sebuah rumah sebelum ditempatkan di sini.

“Bila kita bantu, mereka pula buat perkara menyedihkan seperti ini. Bergaduh macam mana pun tak perlulah libatkan anak-anak yang tidak berdosa ini,” katanya.

Saturday, October 5, 2013

suami ganas

Suami ganas, Arisa larikan diri


DI depan ahli keluarga pijak semut pun tak mati tetapi di belakang hanya Allah dan saya saja yang tahu," luah Arisa Yusuf (bukan nama sebenar), 26, membuka bicara.
Pada mulanya wanita muda ini enggan berkongsi kisah negatif rumah tangganya yang berlaku kira-kira tiga tahun lalu.
Namun, apabila dipujuk dengan tujuan untuk memberi iktibar dan membuka mata masyarakat, dia akhirnya bersetuju.
"Kami jatuh cinta pada usia muda, waktu di tingkatan lima dan kerana masing-masing tidak melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi kami pun mengambil keputusan untuk bernikah.
"Walaupun kehidupan sederhana dengan pendapatan yang kecil, itu tidak menjadi masalah kerana kami memang menyayangi antara satu sama lain," ujar Arisa yang menetap di Kuala Lumpur sejak dari kecil.
Kira-kira dua tahun selepas berumah tangga, suami Arisa, Affendi Sulaiman (bukan nama sebenar), 26, telah berjaya dalam permohonannya untuk menjadi anggota pasukan beruniform.
Ketika menjalani beberapa sesi latihan, Affendi tinggal di kem dan jarang dapat peluang untuk balik ke rumah.
"Pada mulanya saya amat bersyukur dengan tawaran pekerjaan tersebut. Namun lama kelamaan saya dapat rasakan hubungan kami makin renggang apabila dia semakin jarang balik.
"Sikap Affendi juga berubah. Dahulu dia memang tidak pernah marah saya. Namun semenjak memasuki kem latihan dia menjadi seorang yang baran. Pun begitu dia masih menyayangi saya dan sering menghantar khidmat pesanan ringkas berbunyi romantis pada saya.
"Disebabkan amat jarang berjumpa, pada pertemuan yang ada saya akan berusaha menyediakan hidangan yang begitu enak padanya. Saya pelajari resipi terbaru dan berhias sebaiknya untuk menambat hati suami.
"Satu malam selepas menikmati hidangan makan malam, Affendi turut menghadiahkan saya seutas jam tangan.
"Saya sangka malam kami begitu indah, hinggalah tangan saya direntap dengan kuat dan makanan yang ada di atas meja dilibas Affendi dengan pakaiannya.
"Jantung saya berdebar, saya amat takut dan melihat mata Affendi juga berubah menjadi merah. Dia kata dia sayang saya tapi terpaksa buat begitu supaya saya tidak mengambil kesempatan atas kebaikannya. Saya pelik kenapa dia bersikap begitu padahal dia dulu seorang yang lemah lembut sahaja," cerita Arisa yang masih tidak mempunyai cahaya mata.
Rupa-rupanya bukan sekali, malah episod penderaan emosi dan fizikal pada Arisa terjadi berkali-kali hingga satu hari Arisa mengambil keputusan lari dari rumah selepas Affendi mengugutnya dengan sebilah pisau ketika dia sedang mencuci pinggan di dapur.
"Saya panik, walau pisau itu kecil saja namun ia hampir mengenai tengkok saya. Dalam ketakutan saya pujuk Affendi untuk tidak mencederakan saya. Anehnya Affendi juga menangis tapi dia kata dia perlu melakukan sesuatu supaya cinta saya padanya tidak beralih pada lelaki lain.
"Saya memang musykil dengan sikapnya. Keadaan dirinya juga adakala kemas namun adakala kusut masai dan keanehan dirinya makin menjadi menjelang waktu malam.
"Berbalik kepada kisah saya keluar rumah tadi, saya memang sehelai sepinggang, paling jauh pun saya mampu terfikir rumah kak Nah, jiran belakang yang jarang saya bersembang namun beberapa kali terserempak di kedai. Entah kenapa pada kak Nah saya luahkan semua.
"Kak Nah juga menawarkan saya tidur di rumahnya pada malam itu. Kebetulan kak Nah ibu tunggal jadi saya tidak begitu kekok bermalam di rumah kak Nah.
"Setelah bersembang, kak Nah memberitahu saya bahawa dia pernah mendengar cerita yang hampir sama berlaku kepada sahabatnya dahulu.
"Kata kak Nah lagi sahabatnya itu telah merujuk kes pada seorang pakar psikologi dan juga seorang ustaz. Masing-masing mempunyai hujah yang tersendiri cuma yang payahnya suami memang tidak akan mahu untuk dibawa ke mana-mana atas alasan dia tidak sakit dan dia tidak gila untuk bertemu pakar sakit jiwa.
"Suami saya ini kalau di depan orang lain terutama ahli keluarga memang baik dan bersopan santun, tapi sikap sebenarnya hanya saya yang tahu. Dan sekarang kak Nah juga tahu dan mahu menolong kami," cerita Arisa panjang lebar.
Akhirnya setelah memendam rasa selama setahun Arisa mengambil keputusan menuntut cerai fasakh. dia tidak tahu lagi bagaimana caranya untuk berhadapan dengan suami yang ganas dan sukar diceritakan pada ahli keluarga akan sikap sebenarnya.
Pun begitu kehidupan Arisa tidak tenang kerana masih diganggu Affendi, sehingga akhirnya dia membawa diri ke timur semenanjung dan menemui ketenangan di sebuah perkampungan nelayan di sana.
Arisa juga menukar nama pengenalan diri dan mengubah penampilan diri agar sukar dikesan bekas suami.
Kini Arisa bergelar usahawan wanita dan selepas tiga tahun episod sedih berlalu dari hidupnya dia telah bertemu dengan seorang duda penyayang yang menyintai dirinya sepenuh hati

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131002/ke_01/Suami-ganas-Arisa-larikan-diri#ixzz2gox9Xtbm
© Utusan Melayu (M) Bhd