Tiga sekawan jadi hero selamatkan mangsa
Demikian pengakuan tiga sekawan yang dianggap hero selepas menjadi 'pasukan penyelamat' pertama tiba membantu para penumpang yang hampir lemas dalam tragedi bot ekspres karam di Sungai Rajang, dekat sini Selasa lalu.
Harudis Busan, 41, adiknya Nerius, 36, serta Harimi Taju, 30, layak diberi pujian kerana bukan sekadar menyelamatkan seorang atau dua mangsa, sebaliknya hampir 100 daripada mereka.
Lebih membanggakan, tiga sekawan dari rumah panjang Temenggung Matu, Sekepan Panjang itu sanggup berulang-alik menghantar mangsa ke tebing sebelum kembali ke tengah sungai dengan hanya menggunakan dua buah bot kecil.
Menurut Harudis, dalam kejadian kira-kira pukul 9 pagi itu, mereka bertiga sedang memotong kepingan kayu di tebing sungai.
Katanya, dia kemudian melihat bot ekspres itu yang sarat dengan penumpang seolah-olah gagal dikawal manakala enjinnya mati sebelum terlanggar batu dan terbalik.
"Penumpang menjerit ketakutan. Mereka yang duduk di luar serta di atas bumbung bot pula segera terjun ke dalam sungai dan cuba berenang namun hanyut dibawa arus kuat.
"Kami memang sudah tidak fikir panjang, terus naik bot dan tarik penumpang yang hanyut masuk ke dalam bot sehingga penuh, hantar mereka ke tebing dan patah balik selamatkan yang lain," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Harudin memberitahu, setelah lebih setengah jam membantu mangsa, penduduk kampung lain kemudian tiba bersama bot masing-masing untuk menghulurkan bantuan.
"Saya sudah tidak boleh ingat berapa kali kami ulang-alik, namun saya lega mangsa-mangsa tersebut selamat. Cuma saya terkilan ada penumpang yang hilang dan gagal dikesan sehingga sekarang," katanya.
Tindakan tiga sekawan membantu mangsa tragedi berkenaan turut mendapat perhatian Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpag yang memuji keberanian mereka ketika meluangkan masa melawat beberapa rumah panjang di sekitar kawasan nahas semalam.
No comments:
Post a Comment