Kumpulan artikel dari website akhbar atau dari web individu mengenai bencana alam,kemalangan,masalah rumahtangga serta tragedi dalam kehidupan masyarakat Malaysia dan dunia.
Friday, April 22, 2011
Cek Perkeso
Balu pekerja kontrak terima cek faedah Perkeso
Othman Mohd. Nordin (kiri) menyampaikan cek faedah Perkeso kepada Nas Fatihah Azman di Pulau Pinang, kelmarin.
PULAU PINANG 21 April - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) semalam menyampaikan cek faedah kepada balu seorang pekerja kontrak yang mati lemas selepas tergelincir ke dalam saluran kumbahan sedalam lima meter dekat Bagan Jermal, 17 April lalu.
Pengurus Pejabat Perkeso Pulau Pinang, Othman Mohd. Nordin menyampaikan cek faedah pengurusan jenazah berjumlah RM1,500 dan pencen RM945 sebulan kepada Nas Fatihah Azman, 26, yang merupakan balu Zakaria Ahmad, 32.
Menurut Othman, bayaran pencen yang akan dibayar mulai bulan depan itu diberikan kepada Nas Fatihah seumur hidupnya dan dikongsi bersama dua anaknya sehingga umur anak itu 21 tahun.
"Perkeso membayar faedah caruman ini kepada waris mangsa bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi selepas kehilangan insan tersayang.
"Kita berharap kejadian seumpama ini tidak berulang kepada orang lain dan semua pihak mengambil peringatan dengan apa yang berlaku ke atas Zakaria," katanya ketika mengunjungi Nas Fatihah di Bayan lepas di sini.
Othman menambah, majikan dan pekerja dirayu supaya mematuhi prosedur keselamatan ketika bekerja di tempat berisiko seperti itu dan menggunakan peralatan keselamatan yang disediakan.
"Perkeso bersama beberapa agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) sentiasa berusaha dengan mengadakan kempen keselamatan di kalangan pekerja.
"Majikan dan pekerja harus sentiasa berhati-hati serta patuhi peraturan yang ditetapkan agar kejadian ini tidak berulang," katanya.
Dalam pada itu, Nas Fatihah ketika ditemui pemberita mengucapkan terima kasih kepada Perkeso dan majikan suaminya di atas keprihatinan kedua-dua pihak meringankan beban keluarganya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment