-
Norhakikah
dan Muhammad Nur Ridzwan kini tinggal bersama datuk dan nenek mereka,
Hashim dan Zamah yang kini tinggal di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.
Sambutan Aidilfitri tahun ini mencetuskan kepiluan dalam hati dua
beradik lebih-lebih lagi ia adalah sambutan pertama tanpa insan
tersayang.
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang boleh
digambarkan kepada Nor Hakikah Rosli, 14 dan adiknya, Muhammad Nur
Ridzwan, 10, yang terpaksa meneruskan hari-hari mendatang.
Tiada lagi riuh rendah ibunya, ZsaZsanomi Hashim, 44, mengejutkan
mereka dua beradik untuk bersiap-siap mengenakan baju baru dan serta bau
lemang dan rendang ayam yang dimasak ayahnya, Rosli Aliman, 52 di pagi
Syawal.
Mengimbas memori indah bersama kedua ibu bapanya, Nor Hakikah yang
selesa dipanggil Nor mengakui setiap kali sambut Syawal, ayahnya paling
mengambil berat soal keperluan dia dan adiknya.
“Dalam menyediakan juadah di pagi raya, abah paling sibuk kerana dia
pandai masak. Malah, abah sudah merancang menyediakan tomyam di pagi
raya untuk kelihatan berbeza berbanding sebelum ini.
“Mak pula walaupun tidak pandai masak. Mak rajin bantu ayah sediakan
pelbagai masakan serta mengemas rumah. Sebelum mak ‘pergi’, dia ada
meluahkan hasrat untuk memasang langsir baru di rumah kami, Kampung
Serapoh, Parit,” katanya.
Dalam pada itu, pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan St
Bernadette’s Convent itu menceritakan kenangan raya, adiknya yang
dipanggil ‘Mat’ hanya menutup muka sekali sekala mengesat air mata
berikutan rapat dengan arwah ibunya.
Menurut Nor, kenangan bersalaman kedua ibu bapanya di pagi Syawal meninggalkan kesan mendalam terhadap diri mereka.
Hari meragut kebahagiaan
“Jaga adik dan belajar rajin-rajin,” itulah amanat terakhir yang
disampaikan seorang ibu kepada anak sulungnya sebelum terlibat dalam
kemalangan jalan raya seminggu sebelum umat Islam menyambut Syawal.
Bebanan yang ditanggung di usia muda, Nor menggalas amanat ibunya untuk
terus menjaga dan menyayangi adiknya yang kini tinggal bersama datuk
dan neneknya di Kampung Ara Payung, Batu Gajah.
Mengenang kembali kenangan pahit pada 23 Jun lalu, Nor menerima
kehadiran tiga anggota polis bermotosikal ketika sibuk mengemas rumah
pada hujung minggu manakala Mat bermain di halaman rumah.
Katanya, dia tidak mahu percaya perkhabaran dari anggota polis yang memberitahu kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan.
“Saya seolah-olah bermimpi. Saya masih harap mak dan abah selama. Saya bayangkan mereka hanya cedera ringan.
“Ketika tiba di Hospital Batu Gajah, terasa diri saya menggeletar
apabila kaki menuju ke rumah mayat dan bukan wad kecemasan. Perasaan
takut menguasai diri dan akhirnya saya reda,” katanya.
Dalam kemalangan ngeri itu, motosikal yang dinaiki Allahyarham Rosli
dan Zsazsanomi terpelanting selepas dirempuh Toyota Hilux ketika dalam
perjalanan menuju ke rumah datuk mereka di Kilometer 16.5, Jalan Ipoh –
Lumut berhampiran Tronoh.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, kedua-dua mereka meninggal
dunia di tempat kejadian akibat cedera parah termasuk putus kaki.
Bagaimanapun, jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman
Mewah, Batu Gajah.
Bukan beban jaga dua beradik
“Bukan beban tetapi penyeri selepas kehilangan dua anak sekali gus
dalam tempoh tiga bulan,” demikian kata ibu Allahyarhamah Zsazsanomi,
Zamah Yeop, 64, ketika ditanya mengenai kehadiran dua beradik di
jagaannya bersama suami, Hashim Mat,
65.
Menurutnya, 2013 merupakan tahun amat sukar apabila anak sulungnya,
Zsazsanomi menghadap Ilahi ketika dia baru pulih daripada kehilangan
anak ke limanya, Hasbul Hisham, 36, akibat sakit mengejut.
Katanya, pemergian Zsazsanomi amat memilukan kerana anaknya itu dalam
perjalanan menemuinya dengan membawa sayuran kampung kegemarannya
antaranya jering, pucuk paku, kangkung dan sebagainya.
“Sebelum dia datang, dia ada telefon dalam jam 8 pagi bertanya khabar.
Saya sempat pesan padanya untuk berhati-hati kerana mereka naik
motosikal,” katanya.
Zamah berkata, kedua-dua anaknya itu sangat rapat dengannya malah, menyenanginya kerana rajin membantu sebelum Aidilfitri.
“Bila rindu dan terkenang, saya akan menemani mereka waktu tidur dan
mencium Nor kerana wajahnya saling tidak tumpah macam ibunya,” katanya
dalam nada sebak.