Sunday, April 28, 2013

kepala air maut

Tiga sahabat lemas ditelan kepala air

RAKAMAN melalui telefon bimbit seorang saksi kejadian menunjukkan kejadian kepala air yang meragut tiga rakan di kawasan perkelahan Batu Hampar, Kuala Kangsar kelmarin.


KUALA KANGSAR - Dua remaja perempuan dan seorang remaja lelaki yang mandi di kawasan perkelahan Batu Hampar di Kampung Paya Lintah, Padang Rengas dekat sini ketika hujan lebat petang kelmarin mati lemas dihanyutkan arus deras kepala air.
Kejadian berlaku pada pukul 5.20 petang.
Mereka yang maut ialah Muhamad Khairul Safuan Tajudin, 18, Farah Anisah Ahmad Rafi, 17, dan Nor Aida Azhar, 17.
Abang kembar kepada Muhamad Khairul Safuan iaitu Muhamad Khairul Azwan, 18, bagaimanapun terselamat dan mengalami cedera ringan.
Mayat Muhamad Khairul Safuan ditemui sejam kemudian tersangkut di celah pokok buluh kira-kira lima kilometer (km) dari lokasi dia dihanyutkan.
Mayat Farah Anisah pula ditemui pada pukul 10.30 malam kelmarin kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian, manakala mayat Nor Aida ditemui pada pukul 7.30 pagi semalam kira-kira tujuh kilometer dari tempat dia dihanyutkan.
Muhamad Khairul Azwan yang terselamat berkata, mereka pergi ke kawasan itu bersama tujuh rakan lain.
"Hujan agak lebat ketika itu. Ketika kami bersiap-sedia untuk pulang, arus deras tiba-tiba datang dan menghanyutkan adik saya.
"Saya sendiri sempat berpaut pada pokok buluh di tebing sungai. Saya kemudian menyedari dua rakan kami iaitu Farah Anisah dan Nor Aida turut hilang," katanya.

Sunday, April 21, 2013

terlanggar anak

Maut dilanggar kereta bapa
Wartawan Sinar Harian
20 April 2013
Anak ketiga pasangan Alias dan Mariam, Nuramirah, 14, menunjukkan gambar Norain, 4, ketika ditemui d
Anak ketiga pasangan Alias dan Mariam, Nuramirah, 14, menunjukkan gambar Norain, 4, ketika ditemui di rumah mereka di Pulau Kerengga, Marang.
Maut dilanggar kereta bapa
Suasana sedih menyelubungi ahli keluarga sewaktu jenazah Norain tiba di rumah keluarga itu petang kelmarin.
MARANG – Malang. Itulah nasib sebuah keluarga apabila anak bongsu mereka meninggal dunia akibat dilanggar kereta dipandu bapa sendiri di Kampung Pulau Kerengga di sini, kelmarin.

Kejadian menyayat hati kira-kira jam 9.30 pagi itu berlaku ketika bapa mangsa, Alias Ismail, 49, memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier miliknya untuk memasuki bahagian tempat meletak kereta dekat rumahnya.

Sebelum kejadian, Alias memberhentikan kenderaan sambil menunggu isterinya, Mariam Mohd Sidek, 44, menghantar kunci sebuah lagi kenderaan namun tidak menyedari anaknya, Norain, 4, mengikut rapat di belakang isterinya.

“Saya langsung tidak nampak atau menyedari Norain berada di situ. Saya hanya sedar apabila terasa seperti kenderaan terlanggar sesuatu.

“Saya macam bermimpi apabila mendapati Norain berada di bawah kenderaan,” katanya, semalam.

Berikutan kejadian itu, Alias segera membawa anak bongsunya yang mengalami kecederaan di kepala ke Klinik Kesihatan Marang, sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, menurut ibu mangsa, Mariam Mohd Sidek, 44, anaknya disahkan meninggal dunia di HSNZ kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mariam berkata, beberapa hari sebelum tragedi berlaku, anak bongsunya itu sangat manja dengan bapanya.

“Kelakuannya agak pelik kerana dia sebenarnya rapat dengan saya,” katanya.

Jenazah Norain selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Pulau Kerangga petang kelmarin.

Alias juga telah memberikan keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.