Monday, February 25, 2013

serik ke indon

Munirah serik ke Indonesia
MOHD ISKANDAR OTHMAN
24 Februari 2013
Munirah
Munirah tidak dapat menahan air mata sebaik dapat bertemu dengan emaknya.
Munirah
Abdul Azeez (kiri) menyerahkan dokumen Munirah dan anaknya kepada Mohd Najib (dua, kiri).
Munirah
Abdul Hamid (kiri) dan Robeah (kanan) mencium Munirah (tengah) dan cucu mereka, Mohd Tajul Azeez.
GEORGETOWN - “Tiada kata dapat digambarkan, selain rasa syukur apabila saya dapat kembali mencium dan memeluk emak dan abah setelah tujuh tahun berpisah.”

Itu luahan Munirah Abdul Hamid, 21, yang menghilangkan diri ketika berusia 16 tahun kerana mengikut teman lelakinya yang berasal dari Kepulauan Flores, Indonesia.

Munirah yang dibawa pulang dengan bantuan Umno Bahagian Merbok dan Kelab Putera 1Malaysia, selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas (LTABL) di sini, kira-kira jam 11 pagi semalam.
Sebaik keluar dari balai ketibaan, Munirah terus berlari mendapatkan emaknya sebelum memeluk kaki dan meminta maaf atas kesilapan yang dilakukannya dahulu.

Kepulangan Munirah ditemani suaminya, Mohd Najib Abdullah, 35, dan anak sulungnya, Mohd Tajul Azeez berusia sembilan bulan.

Selain ahli keluarga, turut menunggu kepulangan Munirah di LTAB ialah Presiden Kelab Putera 1 Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Munirah yang ditemui media berkata, menyesal dengan perbuatan lampaunya mengikut teman lelaki yang baru dikenali untuk pergi ke Indonesia.

Hampir hilang nyawa

Mengimbau kisah hitam yang berlaku dalam hidupnya, Munirah berkata, pengalaman mengikut lelaki pulang ke negara jiran itu menaiki bot kecil pasti tidak dilupakan kerana hampir kehilangan nyawa apabila teman lelaki itu mengajaknya terjun ke laut setelah bot yang mereka naiki dikesan pihak berkuasa.
“Saya kenal dengan lelaki itu melalui telefon tidak sampai setahun dan dia mengajak saya pulang bersamanya ke Indonesia.

“Saya tidak tahu kenapa dan saya hanya ikut kehendaknya. Saya rasa seolah-olah dipukau,” katanya.

Menurutnya, ketika bot sampai di perairan Johor, pihak berkuasa datang untuk membuat pemeriksaan namun, semua yang berada di atas bot itu bertindak terjun ke laut dan melarikan diri, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun.

Mendapati kanak-kanak itu ditinggalkan kedua ibu bapanya dan hampir lemas, dia terus menyelamatkan dan membawanya berenang sehingga ke Pulau Batam, Indonesia.

“Sebaik tiba di Pulau Batam, saya tinggalkan kanak-kanak itu di Jabatan Imigresen dan terus mencari kerja untuk menyara hidup.
“Saya juga terpisah dengan teman lelaki selepas terjun dari bot yang dinaiki,” katanya.
Namun mereka bertemu kembali di Pulau Batam beberapa bulan kemudian dan teman lelaki itu mengajaknya pulang ke kampung halamannya di Pulau Flores.

Hasrat pulang ke pangkuan keluarga
Disebabkan serik meneruskan kehidupan di negara asing, dia menyuarakan hasrat untuk pulang ke pangkuan keluarga dan turut memaklumkan kepada lelaki itu bahawa ayahnya akan datang untuk membawanya pulang.

“Marah dengan tindakan itu, teman lelaki saya merampas telefon bimbit dan membuangnya. Saya tiada pilihan lain kerana tidak ingat nombor telefon keluarga di kampung.

“Sebaik tiba di Pulau Flores, saya ditinggalkan teman lelaki. Buntu mengenangkan nasib, saya membawa diri di sekitar pulau berkenaan sehingga bertemu dengan suami saya sekarang di hospital. Dialah yang banyak membantu saya untuk mencari semula keluarga di kampung,” katanya.

Munirah juga tidak mahu lagi pulang ke Indonesia dan tekad membesarkan anak bersama suaminya di kampung halaman di Kampung Nelayan, Tanjung Dawai, Kedah.

“Saya mahu mulakan hidup baru bersama keluarga di sini dan tidak mahu lagi ingat pengalaman hitam lalu,” katanya.
Sementara itu, kedua ibu bapa Munirah, Abdul Hamid Mat, 51, dan Robeah Hamid, 51, bersyukur apabila mereka dapat bertemu semula dengan Munirah.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Kelab Putera 1Malaysia dan Umno Bahagian Merbok kerana membatu membawa pulang Munirah kembali ke pangkuan kami,” katanya.

Friday, February 22, 2013

tiada punggung

Adik derita tak ada punggung
NIK MOHD RAFFIQ
21 Februari 2013
Adik derita tak ada punggung
Zarilah dan Abd Nasir membantu Adik duduk atas kerusi roda disumbangkan Rozi bagi memudahkan kanak-kanak ini ke tadika.
Adik derita tak ada punggung
Adik ketika menerima kunjungan barisan JKKK Kubang Palas.
HULU TERENGGANU - Tatkala kanak-kanak seusianya bebas berlari meniti hari melalui proses tumbesaran, namun berlainan dengan nasib seorang kanak-kanak lelaki, di sini yang hanya sekadar mampu duduk sambil mengharapkan bantuan orang untuk bergerak.

Demikian kehidupan dilalui Muhammad Irshad Darwisy Abd Nasir, 4, akibat lemas dalam kandungan sewaktu ibunya, Zarilah Muda, 38, ingin bersalin pada 31 Julai 2009 lalu.

Sepanjang hidupnya kaki kanak-kanak comel ini dijangka tidak dapat melangkah untuk berjalan.

Zarilah berkata, anaknya yang lebih mesra dipanggil Adik itu dipercayai lemas selama 11 jam setelah air ketubannya pecah sebelum dilahirkan melalui pembedahan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dalam keadaan seluruh tubuh badan bayinya itu kebiruan.

“Air ketuban ketika itu juga sudah kering. Malah, saya sendiri menyuruh pihak hospital melakukan pembedahan untuk selamatkan bayi kerana sudah tidak mempunyai tenaga untuk bersalin.

“Keadaan Adik yang tidak stabil menyebabkan dia berada di hospital hampir seminggu. Mulanya, saya dan suami, Abd Nasir Musa, 41, melihat Adik membesar sebagaimana bayi lain apatah lagi dilahirkan dalam keadaan yang cukup sifat dengan berat 3.25 kilogram (kg)," katanya.

Menurutnya, namun, sekitar usianya tiga bulan didapati kedua-kedua kaki Adik seperti tidak dapat diluruskan atau berpijak ketika dimandikan.

"Melihat kelainan ini, saya dan suami terus membawanya berjumpa doktor.

"Runtun jiwa apabila dimaklumkan, anak saya ini bukan sahaja dijangka tidak dapat berjalan seumur hidup akibat komplikasi lemas sewaktu bersalin, tetapi juga berkemungkinan tidak dapat bercakap”, katanya.

Syukur...Adik boleh bercakap

Selingkar kisah kehidupan kanak-kanak comel yang sudah belajar di Tadika Kemas Kubang Palas ini dikongsi Zarilah kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam dan turut dihadiri wakil barisan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Kubang Palas.

Tambah Zarilah, hanya ALLAH SWT yang mengetahui kegembiraan dirasakan apabila anaknya itu mengeluarkan suara ketika berusia hampir setahun dan mampu menyebut beberapa perkataan termasuk Ma serta Abah, malah kini Adik begitu petah berkata-kata.

“Walaupun usianya baru empat tahun, namun dia begitu rancak bercakap sama ada dengan orang dikenalinya ataupun tidak. Cuma dia agak takut apabila orang lain mendukungnya seolah-olah bimbang sekiranya dia akan terjatuh.

“Adik tidak mengalami masalah kesihatan cuma  dia tidak mampu berjalan, selain kedua-dua tangannya lebih banyak dalam keadaan menggenggam. Selain itu, kakinya juga jelas kelihatan kecil berbanding tumbesaran badannya. Beratnya kini 7.5kg.

“Adik juga perlu memakai lampin pakai buang setiap masa sebagai sokongan bagi membolehkannya duduk, kerana dia juga tiada punggung. Dia juga tidak mampu mengesot,” ujarnya.

Ulang alik HSNZ naik teksi

Tambah Zarilah, dia dan suami perlu berulang-alik ke HSNZ beberapa kali sebulan menaiki teksi bagi mendapatkan rawatan susulan dengan kadar bayaran RM50 dan dengan bantuan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM200, ia sedikit-sebanyak ringankan beban.

“Kalau diikutkan jumlah itu tidak mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya ia membantu ringankan suami yang hanya lakukan kerja-kerja kampung. Sepatutnya, Adik perlukan susu khas berharga RM119 satu tin tetapi sehingga kini, hanya sekali sahaja kami mampu belikan untuknya.

“Saya juga pernah membawanya mendapatkan rawatan tradisional menggunakan kaedah urutan. Mungkin kerana terlalu sakit, Adik sendiri yang memberitahu tidak mahu lagi berbuat demikian.

“Hati saya tersentuh apabila Adik menyuarakan keinginannya untuk berlari dan bermain bola, sedangkan dia tidak mampu berbuat demikian. Saya sekadar memujuknya dengan memberitahu dia harus banyak bersenam dan lakukan terapi terlebih dahulu,” katanya.

Jauh disudut hati menaruh harapan agak Adik dapat berjalan jua suatu hari nanti.

Senyuman di wajah Muhammad Irshad Darwisy terus terukir apabila dia menerima sebuah kerusi roda sumbangan Adun Telemong, Rozi Mamat, Khamis lalu sekali gus mencapai keinginannya untuk bersama kanak-kanak seusianya belajar mengenal huruf dan angka di tadika.

Menurut Abu Nasir, Adik sememangnya ingin bersekolah tetapi kerana keadaan diri menyebabkan hasratnya tidak dapat ditunaikan.

“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat sehingga membolehkan anak saya ini ke tadika. Hari pertama ke sekolah, dia kelihatan gembira dan sentiasa tersenyum walaupun perlu belajar dari atas kerusi roda ini,” ujarnya.

Wednesday, February 13, 2013

disihir?

'Aku nak Nadia kenapa tak bagi'
Wartawan Sinar Harian
13 Februari 2013
Zarina mencuci kaki anak angkatnya yang disahkan menghidap SLE.
Zarina mencuci kaki anak angkatnya yang disahkan menghidap SLE.
Zarina
Zarina tetap tabah dengan dugaan dihadapi anak angkat dipeliharanya sejak berusia empat bulan.
BANDAR TUN RAZAK – “Aku nak kahwin dengan Nadia kenapa tak bagi. Patutlah orang kata ko (engkau) jual anak,” itu yang diungkapkan Nazatul Nadia Mohd Izwan, 20, ketika menjalani rawatan di Hospital Temerloh November tahun lalu.

Sejak peristiwa itu, kesihatan Nazatul Nadia semakin merosot dan gadis itu dipercayai menghidap penyakit misteri selepas tangan kanan serta kedua kakinya membengkak kehitaman dan berbau busuk.

Ibu angkatnya, Zarina Saat, 52, berkata, perubahan Nazatul Nadia disedarinya ketika mereka sekeluarga pulang menziarahi seorang ahli keluarganya yang meninggal dunia di Felda Lurah Bilut, Bentong.

“Mukanya pucat dan dia sering kali mengadu sakit perut sewaktu pulang ke kampung. Bimbangkan keadaannya yang bertambah teruk, kami membawanya ke Hospital Bentong bagi menjalani rawatan kesihatan.

“Bagaimanapun, keadaan Nazatul Nadia bertambah teruk dan dia terpaksa dipindahkan ke Hospital Temerloh kerana keadaannya yang lemah dan tidak bermaya,” katanya kepada Sinar Harian.
Meracau, diserang histeria

Zarina berkata, semasa menerima rawatan di hospital itu, Nazatul Nadia sering diserang histeria dan meracau tidak tentu hala dengan menyebut nama lelaki yang tidak dikenali kononnya mahu memusnahkan hidup anak angkatnya itu.

“Kadang-kadang apa yang disebut Nazatul Nadia tidak kami fahami hingga satu tahap dia langsung tidak mengenali dirinya sendiri,” katanya.

Menurutnya, pada masa itu, beberapa perubahan ketara dapat dilihat pada tangan dan kaki anak angkatnya itu yang berwarna kebiru-biruan dan membengkak.

“Saya ada bertanya dengan jururawat di hospital itu tentang perubahan pada tangan dan kaki yang dihadapi anak saya, tetapi jururawat mengatakan mungkin anak saya alahan pada ubat-ubatan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, anak angkatnya itu terpaksa dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hosiptal Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan selepas tidak sedarkan diri selama beberapa hari.

“Doktor yang merawatnya telah mengenal pasti punca penyakit Nazatul Nadia dan mengesahkan anaknya itu menghidap penyakit Systemic Lupus Erythematosus (SLE). Nazatul Nadia kemudiannya dipindahkan ke wad biasa dan dirawat lebih sebulan di HTAA,” katanya.


Terlantar, pakai lampin

Katanya, sejak persitiwa itu, Nazatul Nadia tidak lagi boleh berjalan seperti biasa, malah tubuh badannya lebih kurus berbanding sebelum ini.

“Malah, Nazatul Nadia terpaksa memakai lampin pakai buang dan hanya terlantar di atas katil selepas disahkan menghidap penyakit itu,” katanya.

Katanya, pada masa ini, dia terpaksa membelanjakan antara RM1,300 bagi menampung kos ubat-ubatan dan kos mencuci kaki dan tangan anak angkatnya yang dipelihara sejak berusia empat bulan itu.

“Selain mendapatkan rawatan moden, saya juga ada membawa Nazatul Nadia menjalani rawatan perubatan kampung.

“Kebanyakan pakar perubatan tradisional yang saya temui mengatakan kemungkinan Nazatul Nadia terkena sihir, tapi semuanya itu saya serahkan kepada ALLAH SWT kerana hanya ALLAH sahaja yang mengetahui segala-galanya.

“Saya reda dengan dugaan dan ketentuan ini kerana saya percaya jika kita kuat dan boleh hadapi dugaan ini, insya-Allah ada hikmah di sebaliknya,” katanya.

Nazatul Nadia berkata, walaupun berat menerima dugaan ini, tetapi dia tetap yakin suatu hari nanti dia akan kembali pulih seterusnya menjalani kehidupan yang lebih baik pada masa depan.

“Mulanya sukar untuk saya menerima dugaan besar dalam hidup ini. Namun saya perlu kuat menerima dugaan ini dengan hati terbuka kerana ALLAH masih memberi saya peluang untuk meneruskan hidup,” katanya.

Tuesday, February 12, 2013

wang lesap

Wang sumbangan RM140,000 lesap


MUHAMAD HAIRUMAN menunjukkan laporan polis dan penyata akaun di Shah Alam semalam.


SHAH ALAM – Mangsa renjatan kabel elektrik, Muhamad Hairuman Miskon, 24, kesal apabila wang sumbangan orang ramai berjumlah RM140,000 hilang daripada akaun bank peribadinya.
Dia mendakwa, wang tersebut dilesapkan oleh salah seorang ahli keluarganya sendiri melalui berpuluh-puluh pengeluaran secara tunai dalam tempoh setahun.
Menurutnya, perkara itu disedarinya apabila dia membuat semakan ke atas akaun berkenaan awal Jun tahun lalu dan mendapati bakinya hanya tinggal RM48.
“Sepanjang saya terlantar sakit akibat kejadian renjatan itu, ahli keluarga berkenaan menguruskan akaun bank tersebut serta beberapa lagi sumbangan yang diberikan pelbagai pihak.
“Saya kini membekukan akaun bank berkenaan awal Julai tahun lepas dan cuba untuk mendapatkan ahli keluarga berkenaan untuk penjelasan, tetapi dia gagal dihubungi dan ditemui hingga kini malah nombor telefonnya turut ditukar,” dakwanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Hairuman yang berasal dari Tanjung Karang, Selangor sebelum ini menggemparkan negara apabila mengalami kecederaan parah selepas terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa sawit di sebuah kebun di Kuala Selangor pada 26 November 2010.
Mengulas lanjut, menurutnya, dia telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Karang, Selangor pada bulan sama dia membekukan akaun bank miliknya.
Katanya, pihak polis memaklumkan bahawa mereka tidak dapat berbuat apa-apa walaupun dia memberikan penyata bank penuh sebagai bahan bukti.
“Menurut pegawai yang menerima laporan itu, siasatan tidak dapat diteruskan berdasarkan penyata tersebut semata-mata kerana mereka memerlukan bukti melalui rakaman video mesin pengeluaran automatik antara bulan April hingga Ogos 2011.
“Malangnya video berkenaan hanya mempunyai jangka hayat selama enam bulan sebelum dilupuskan. Dalam tempoh tersebut, pengeluaran wang dalam jumlah besar telah dilakukan,” ujarnya.
Menurut Hairuman, dia telah memohon bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial untuk mendapatkan pekerjaan dan telah dipanggil untuk temu duga di Kuala Lumpur awal Julai tahun lalu.
“Sepanjang tempoh tersebut, saya hanya bergantung kepada wang simpanan dalam akaun lain hinggalah diambil bekerja sebagai operator panggilan di sebuah syarikat swasta di Petaling Jaya, Selangor pada Ogos,” ujarnya.
Sejak temu duga itu, dia memberitahu, ibu angkatnya telah menjemputnya untuk tinggal bersamanya di Kayangan Heights di sini hingga sekarang.
Hairuman kini melanjutkan pelajaran di Pusat Latihan Pemulihan dan Perindustrian Sungai Merab, Kajang dalam bidang pengkomputeran sejak Januari lalu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd. Taib Ahmad mengesahkan pihaknya menerima laporan yang dikemukakan oleh Hairuman.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya meminta Hairuman membuat laporan baharu berhubung kes tersebut.
“Mungkin laporan sebelum ini tidak lengkap dan mengemukakan penyata pengeluaran keluar masuk wang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Friday, February 8, 2013

manis hanya seminggu

Suami reda pemergian isteri yang baru seminggu dikahwini
Wartawan Sinar Harian
8 Februari 2013
Shahrul Azmi
Shahrul Azmi melihat gambar arwah Nor Farida yang dirakam dalam telefon bimbit milik arwah pada hari perkahwinan mereka Sabtu lalu. Gambar kecil : Nor Farida.
KUANTAN - Genap seminggu usia perkahwinan, seorang suami terpaksa reda apabila isterinya yang mengidap penyakit SLE setahun lalu meninggal dunia, semalam.

Shahrul Azmi Jailan, 24, yang melangsungkan perkahwinan dengan Nor Farida Nor Azman, 24, Sabtu lalu menerima kenyataan bahawa isterinya kini sudah tiada.

“Malam semalam, arwah isteri berpesan kepada saya supaya jaga diri, jaga ibu dan ayah.

“Pada mulanya saya tidak mengesyaki apa-apa, sehinggalah pada jam 4.30 pagi semalam, arwah mengalami sesak nafas,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Balok Pine, di sini.

Shahrul berkata, melihat keadaan isterinya semakin teruk, dia ke hospital swasta sebelum dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Bagaimana pun, arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.30 pagi, semalam.

Bercerita mengenai penyakit arwah isteri, Shahrul berkata, dia yang mengenali arwah sejak tujuh tahun lalu mengetahui keadaan kesihatan isterinya.

“Arwah memberitahu saya mengenai penyakit yang dihidapinya selepas kami bertunang hujung tahun lalu.

“Ketika itu, saya menerimanya dengan hati terbuka dan tahu tentang risiko yang mungkin terjadi,” katanya.
Shahrul berkata, pemergian isterinya itu menyebabkan majlis sambut menantu yang dirancang Sabtu ini (esok) di Lanchang, Temerloh terpaksa ditukar kepada majlis tahlil.
“Apa pun, saya reda kerana dia sangat menderita dengan penyakit yang dialaminya, malah semasa majlis perkahwinan kami Sabtu lalu, keadaan arwah sangat lemah,” katanya yang masih bercuti.

Sementara bapa arwah, Nor Azman Hussain, 53, berkata, anak kedua daripada empat beradik itu dikesan mengidap penyakit SLE setahun lalu sebelum serius tiga bulan lepas.

Nor Azman berkata, keadaan arwah anaknya semakin teruk apabila mengalami demam panas dan sakit sendi sehingga tidak mampu bangun.

“Keadaan arwah bertambah teruk apabila penyakit itu menyerang buah pinggang, namun sebagai bapa, saya pasrah dengan takdir.
“Saya harap menantu saya kuat semangat menerima keadaan ini,” katanya.

Jenazah Nor Farida selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Balok selepas Zuhur.