Cerita seorang penggali kubur
3 Disember 2012
Sejak kecil, anak kesembilan daripada 12 beradik ini sudah biasa mengikut bapa menguruskan jenazah dan menggali kubur di Sungai Bertik, Klang, Selangor. Malah hari ini, Sri memikul tanggungjawab sama di kampung halamannya itu selain bertugas di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam di bawah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
“Asalnya saya hanya perhatikan ayah. Lama-lama minat datang dengan sendiri bila ayah minta saya warisi tugasnya. Kata ayah, kalau tak ada anak muda yang sambung, lama-lama tak ada orang boleh laksanakan fardu kifayah ini,” ujar Sri.
Sudah rezeki, dia sangat bersyukur apabila diterima bekerja tetap bersama MBSA mulai 1984 walaupun pada asalnya hanya mengambil upah mengorek longkang.
Pernah melalui zaman di mana mayat dibawa menaiki basikal dan digandar dengan buluh untuk dibawa ke tanah perkuburan ketika masih kecil, Sri menyatakan kerja menggali kubur juga melalui peredaran masa. Jika dahulu satu liang lahad mengambil masa empat jam setengah untuk digali menggunakan cangkul, kini masa dan tenaga dijimatkan dengan penggunaan van jenazah dan jengkaut.
“Dahulu purata pengebumian hanya empat ke lima orang sahaja sebulan. Sekarang ini boleh sampai 48 orang,” ujar Sri, merujuk kepada tanah perkuburan tempatnya berkhidmat.
Sedia 24 jam
Selain Sri yang paling lama bertugas sebagai penggali kubur di bawah MBSA, dia mempunyai empat rakan sekerja lain iaitu Zuraimi Chesman, Muhammad Asri Nasarudin, Ahmad Jali Suwarno dan Mohd Ramli Mat Isa. Mereka bekerja di bawah seliaan Noor Esa Sahid, 50, bagi Jabatan Perkhidmatan Bandar.
Kebiasaannya, liang lahad akan digali sebaik sahaja mereka menerima panggilan telefon memaklumkan terdapat kematian. Daftar kematian atau permit mengubur turut diperlukan dari hospital atau balai polis sebagai bukti. Mengikut Petunjuk Prestasi Utama (KPI), liang lahad mesti selesai digali dalam masa dua jam sebaik berita diperoleh.
“Dulu bila nak terima berita kematian, ada juga rasa lain macam seperti gatal tangan atau sakit bahu. Tapi bila dah lama bekerja dan kadar kematian makin tinggi, dah tak rasa apa dah.
“Apa pun, bagi saya niat mesti baik dan ikhlas. Jangan simpan rasa buruk sangka terhadap jenazah yang hendak dikebumikan kerana hanya ALLAH yang maha mengetahui,” ucap Sri sambil berseloroh, janji dengan orang mati lebih senang berbanding dengan yang masih hidup.
“Jenazah biasanya dikebumikan pada waktu siang. Tapi ada juga kes seperti mayat tidak boleh disimpan di rumah atas kebenaran doktor, sudah berbau, terlibat dalam kemalangan ngeri, pesakit HIV atau meninggal di luar negara yang memerlukan pengebumian segera,” tambahnya.
Waktu kerja Sri dan rakan-rakan sama seperti waktu pejabat dan bercuti pada Sabtu dan Ahad. Begitu pun, penggali kubur mesti bersedia 24 jam. Tidak hairanlah, cuti tahunan masih banyak berbaki.
Bagi Sri, komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kerjanya terserlah apabila dia masih ke kubur untuk menggali liang lahad pada hari pernikahannya sebelas tahun dulu.
Rakannya, Jali Suwarno pula sanggup meninggalkan majlis pertunangan anak demi tuntutan tugas dan menunaikan tanggungjawab tersebut.
Dapat dua 'gaji'
Apabila sudah biasa menggali liang lahad, perasaan Sri sudah sebati terhadap kuburan. Begitu pun sebagai manusia biasa, dia pernah melalui pengalaman sedih apabila terpaksa menggali pusara demi insan rapat dan disayangi dalam hidupnya.
“Selain abang kandung dan bapa mentua, saya pernah uruskan jenazah kawan baik yang meninggal dunia dalam keadaan tak disangka-sangka.
“Seorang daripadanya baru sahaja makan malam bersama saya. Tiba-tiba esoknya saya dimaklumkan dia sudah tiada akibat kemalangan.
“Seorang lagi, ceritakan masalah keluarga dan minta pandangan. Saya nasihatkan dia pulang minta maaf dan cium tangan orang tua. Siapa sangka, dia meninggal dunia dalam perjalanan pulang tersebut,” cerita Sri.
Selain itu, dia melalui pengalaman yang dirasakan dapat dijadikan iktibar buat dirinya dan orang sekeliling. Betapa jika ketika hayat melakukan banyak amalan kebaikan, ALLAH SWT akan memudahkan urusan dunia dan akhirat. Contohnya, urusan menggali kubur dan mengebumikan mayat menjadi sangat mudah dan lancar.
“Kejadian yang tak dapat dilupakan bila saya pernah diminta membawa van jenazah seorang imam ke Muar, Johor. Sebelum itu, arwah ada menyatakan hasrat untuk dikebumikan sebelum solat Jumaat.
“Perjalanan seolah-olah dipermudahkan apabila lampu isyarat bertukar hijau sepanjang perjalanan dan sedar-sedar, sudah tiba di destinasi dalam masa 55 minit sahaja. Sedangkan perjalanan balik semula ke Shah Alam, ambil masa lebih tiga jam,” katanya.
Bakti Sri terhadap masyarakat bagaimanapun masih disedari pihak berkaitan. Walaupun tidak pernah menaruh harapan untuk mendapat balasan atas khidmat dilakukan kepada masyarakat, Sri pernah dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK) daripada Sultan Selangor.
Dia turut menerima sijil tertinggi dalam bidangnya iaitu Kursus Pengurusan Jenazah Perdana dan meraih Pekerja Perkhidmatan Cemerlang MBSA pada 1999 dan 2009.
“Walaupun ada yang anggap tugas penggali kubur ini kerja tak glamor dan ditolak ramai orang, saya bersyukur sebab dapat dua gaji.
“Satu gaji di dunia dan satu lagi, gaji di akhirat insya-ALLAH,” ujar Sri yang sudah menganggap tanah perkuburan adalah kampung halaman yang sentiasa dekat di hatinya.